top of page
  • Writer's pictureMohd Ezli Mashut

2020 Tahun Cuaca Paling Panas Asia, China Rugi RM987 bilion




GLOBAL | Asia mencatat tahun paling panas pernah direkodkan pada tahun 2020, dengan cuaca ekstrim memberi kesan buruk pada pembangunan di benua itu.

Perkara itu didedahkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 26 Oktober 2021/Selasa, menjelang persidangan iklim COP26 hujung Oktober 2021.


Dalam laporan tahunan bertajuk 'Keadaan Iklim di Asia', Pertubuhan Meteorologi Dunia (WMO) PBB memaklumkan, setiap bahagian di rantau itu terkesan dengan keadaan cuaca berkenaan.


"Cuaca ekstrim dan perubahan iklim memberi impak di seluruh Asia pada 2020 menyebabkan kehilangan nyawa, jutaan hilang tempat tinggal dan kerugian berbilion dolar, serta memusnahkan infrastruktur dan ekosistem.


"Pembangunan mampan terancam, dengan isu keselamatan makanan dan air, risiko kesihatan dan alam sekitar meningkat," katanya, lapor AFP pada 26 Oktober 2021/Selasa.


Laporan itu diterbitkan beberapa hari sebelum Persidangan Perubahan Iklim PBB atau COP26 yang dianjurkan di Glasgow bermula 31 Oktober hingga 12 November 2021.


Ia turut mendedahkan jumlah kerugian tahunan yang dialami akibat bencana berkaitan iklim.


China menanggung kerugian AS$238 bilion (RM987 bilion), disusuli India dengan AS$87 bilion (RM360 bilion), Jepun (AS$83 bilion/RM344 bilion) dan Korea Selatan (AS$24 bilion/RM99 bilion).


Namun, jika saiz ekonomi diambil kira, purata kerugian tahunan dianggarkan setinggi 7.9 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi Tajikistan, 5.9 peratus bagi Kemboja dan 5.8 peratus untuk Laos.


Peningkatan haba dan kelembapan juga diramalkan menyebabkan kekurangan tempoh bekerja di luar di seluruh benua itu, dengan berisiko menyebabkan kerugian berbilion dolar.


Ketua WMO, Petteri Taalas, berkata bencana cuaca dan iklim, khususnya banjir, ribut dan kemarau memberi impak signifikan di kebanyakan negara di Asia.


"Apabila digabungkan, impak ini memberi kesan signifikan terhadap pembangunan mampan jangka panjang," katanya.

10 lihatan0 komen
IMG_20221230_173627.jpg
bottom of page