top of page
  • Writer's pictureMohd Ezli Mashut

24 bank pusat dijangka guna mata wang digital menjelang 2030




KEWANGAN DIGITAL | LONDON: Sekurang-kurangnya 24 bank pusat merentasi ekonomi pesat membangun dan maju dijangka memiliki edaran mata wang digital menjelang hujung dekad ini, mengikut hasil tinjauan Bank Penyelesaian Antarabangsa (BIS) yang diterbitkan pada 10 Julai 2023.

Proses mengkaji dan pengurusan mata wang digital bagi kegunaan runcit sudah dilaksanakan bank pusat di seluruh dunia bagi mengelak ia diserahkan kepada pihak swasta ketika pengurangan penggunaan tunai.


Malah, beberapa bank pusat turut meninjau peluang bagi penggunaan secara pukal untuk transaksi antara institusi kewangan, lapor REUTERS pada 10 Julai 2023.


Kebanyakan Mata Wang Digital Bank Pusat (CBDC) baharu akan muncul di ruangan runcit dengan 11 bank pusat boleh menyertai rakan seangkatannya di Bahamas, Caribbean Timur, Jamaica dan Nigeria.

Negara berkenaan dikenal pasti sudah menjalankan transaksi mata wang digital secara langsung menerusi hasil tinjauan BIS yang dijalankan ke atas 86 bank pusat pada akhir 2022.


BIS berkata, sembilan bank pusat boleh melancarkan CBDC, selain sektor pemborongan pada masa hadapan dijangka membenarkan institusi kewangan mengakses fungsi baharu iaitu tokenisasi.


Tokenisasi adalah proses menggunakan data sensitif, seperti nombor kad kredit, digantikan dengan nilai pengganti yang dikenali sebagai token.


"Meningkatkan pembayaran rentas sempadan adalah antara pemacu utama langkah bank pusat mengenai CBDC secara pukal," kata laporan itu.


BIS menjelaskan, bahagian bank pusat dalam tinjauan membabitkan beberapa bentuk CBDC mencatatkan peningkatan kepada 93 peratus dengan 60 peratus menjelaskan kemunculan stablecoin dan aset kripto lain yang mempercepatkan proses berkenaan.


Pasaran kripto menyaksikan kegawatan sejak 18 bulan lalu, termasuk kegagalan TerraUSD, stablecoins pada Mei 2022, selain kejatuhan kripto FTX pada November lalu, serta kemuflisan bank seperti Silicon Valley Bank dan Signature Bank yang menawarkan perkhidmatan pembekal kripto.


Keadaan itu menyebabkan penjualan pelbagai aset kripto, walaupun perkembangan berkenaan tidak membawa kesan besar ke atas pasaran kewangan konvensional.


Tinjauan sama turut mendapati, hampir 40 peratus responden menyatakan bank pusat atau institusi lain dalam bidang kuasa mereka baru-baru ini menjalankan kajian penggunaan stablecoin dan aset kripto lain dalam kalangan pengguna atau perniagaan.


"Aset kripto termasuk stablecoin mungkin menjadi ancaman kepada kestabilan kewangan, jika ia digunakan secara meluas bagi transaksi pembayaran," kata laporan BIS.

3 lihatan0 komen
IMG_20221230_173627.jpg
bottom of page