top of page
  • Writer's pictureMohd Ezli Mashut

56,000 Penumpang Terkandas Gangguan Komunikasi, Radar Di Lapangan Terbang Manila


Sumber Grafik : FlightRadar24


GLOBAL | MANILA: Berpuluh ribu pelancong terkandas di lapangan terbang Filipina pada 1 Januari 2023/Ahad selepas ratusan penerbangan dibatalkan, ditangguhkan atau dialihkan, berpunca daripada gangguan bekalan elektrik yang menyebabkan peralatan komunikasi dan radar terputus di Manila.

Agensi Berita Antarabangsa AFP pada 2 Januari 2023/Isnin melaporkan pihak berkuasa penerbangan mengesan 'isu teknikal' pada pagi 1 Januari 2023 membabitkan pusat pengurusan trafik udara di lapangan terbang domestik dan antarabangsa Manila.


Lebih 360 penerbangan keluar masuk dari Manila dibatalkan, dialihkan atau ditangguhkan sehingga ia menjejaskan kira-kira 56,000 penumpang.


Gangguan itu melanda apabila ramai orang mula kembali ke ibu negara untuk bekerja dan bersekolah selepas cuti Krismas dan Tahun Baharu.


Malah berlaku adegan huru-hara di kaunter daftar masuk di seluruh negara apabila beribu-ribu orang cuba menempah semula tiket atau mencari masa penerbangan mereka yang mungkin sudah berlepas.


Mereka yang menaiki pesawat mereka sebelum gangguan itu juga diarahkan menunggu selama berjam-jam sebelum diturunkan.


Pegawai lapangan terbang pada mulanya tidak menyatakan punca masalah itu.


Bagaimanapun, Setiausaha Jabatan Pengangkutan, Jaime Bautista, berkata pusat pengurusan trafik udara, yang mengawal penerbangan keluar masuk 'terpadam' disebabkan gangguan bekalan elektrik yang mengakibatkan kehilangan komunikasi, radio, radar dan internet.


"Masalah kedua ialah lonjakan kuasa akibat gangguan bekalan elektrik yang menjejaskan peralatan," katanya.


Pihak berkuasa lapangan terbang berkata, sistem pengurusan trafik udara sudah dipulihkan sebahagiannya pada jam 4:00 petang (waktu tempatan) dan penerbangan mula berlepas dan mendarat di Manila.


"Kelewatan dan pengalihan penerbangan hanyalah langkah berjaga-jaga untuk memastikan keselamatan penumpang, anak kapal dan pesawat," kata Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Filipina.


Pengembara yang terkandas bagaimanapun berasa marah dan kesal dengan kerosakan dan kekurangan maklumat yang diberikan oleh kakitangan lapangan terbang.


Seorang wanita yang sepatutnya terbang ke Singapura berkata, dia menghabiskan beberapa jam duduk di dalam pesawat di atas landasan.


Dia dan rakan penumpangnya akhirnya dibawa keluar dari pesawat dan ditawarkan bilik hotel.


"Kami diberitahu ia adalah kegagalan sepenuhnya komunikasi radio di kawalan trafik udara," katanya kepada AFP.


Taikun Manny Pangilinan dalam Twitternya berkata, dia terbang dari Tokyo ke Manila apabila pesawat itu dilencongkan ke Haneda kerana 'radar dan kemudahan navigasi' terpadam.


"Enam jam penerbangan yang tidak berguna tetapi menyusahkan pelancong dan kerugian kepada pelancongan dan perniagaan adalah mengerikan," tulis Pangilinan.


Penumpang dari Manila, Daryll Delgado pula berkata dia berjaya menempah semula penerbangannya untuk tarikh akan datang selepas 'pengalaman yang mengecewakan'.


Seorang wartawan AFP di bandar selatan Davao juga berkata, pelancong sudah dinasihatkan supaya tidak pergi ke lapangan terbang tetapi ramai hanya mengetahui penerbangan mereka dibatalkan selepas mereka tiba untuk mendaftar masuk.

39 lihatan0 komen
IMG_20221230_173627.jpg
bottom of page