top of page
  • Writer's pictureMohd Ezli Mashut

Arab Saudi Benarkan Wanita Tunai Umrah, Haji Tanpa Mahram


Sumber Foto : Unsplash


JEDDAH: Wanita kini dibenarkan mengerjakan ibadah haji dan umrah tanpa penjaga lelaki atau mahram.

Pengumuman oleh Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Tawfiq Al-Rabiah itu sekali gus menamatkan kontroversi yang berlarutan sama ada mahram diperlukan untuk mengiringi jemaah wanita, lapor AGENSI pada 12 Oktober 2022.


Sementara itu Penasihat Perkhidmatan Haji dan Umrah Arab Saudi, Ahmed Saleh Halabi berkata wanita yang menunaikan umrah atau haji tanpa mahram perlu ditemani bersama wanita atau pihak lain.


Halabi berkata keputusan ini sesuai dengan fatwa penyeliaan Alazhar AlSharif di Mesir, Abbas Shoman, Mac lalu.


Sebelum ini, Kementerian Haji dan Umrah Saudi mengumumkan membenarkan kaum wanita menunaikan umrah tanpa mahram pada Mac lalu.


Bekas penasihat Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi, Faten Ibrahim Hussein berkata keputusan itu memudahkan wanita yang bergelut mencari mahram di tengah-tengah pelbagai kekangan.


Dalam perkembangan berkaitan, Al-Rabiah berkata kos pembesaran Masjidil Haram di Makkah melebihi SR200 bilion (RM249 bilion) dan projek itu akan berterusan.


Memetik laporan Saudi Gazette, beliau turut menegaskan tiada kuota untuk jumlah visa umrah dikeluarkan kepada umat Islam dari seluruh dunia.

"Mana-mana orang Islam yang datang dengan apa-apa jenis visa boleh menunaikan umrah," katanya.


Al-Rabiah menegaskan mengenai kesungguhan Arab Saudi untuk mengurangkan kos mengerjakan haji dan umrah.


Menteri itu juga merujuk usaha kerajaan berhubung pengenalan dan penggunaan teknologi moden dan pendigitalan perkhidmatan yang disediakan kementerian kepada mereka yang ingin melawat Dua Masjid Suci.


"Ini termasuk menggunakan robot untuk menyediakan beberapa perkhidmatan kepada jemaah serta membangunkan platform Nusk, yang menyediakan banyak kemudahan untuk jemaah dan pengunjung Masjidil Haram. Boleh menempah permit umrah melalui platform dalam tempoh yang singkat, dan selepas itu, visa boleh diperolehi dalam tempoh 24 jam," katanya.

13 lihatan0 komen
IMG_20221230_173627.jpg
bottom of page