top of page
  • Writer's pictureMohd Ezli Mashut

Bangladesh siasat kebocoran data peribadi lebih 50 juta pengguna




KESELAMATAN SIBER | DHAKA, Bangladesh – Sebuah pejabat kerajaan memberitahu bahawa pihaknya menyiasat lebih 50 juta maklumat peribadi rakyat Bangladesh yang didedahkan di laman web kerajaan dan menganggapnya sebagai ‘krisis keselamatan siber global’, lapor Agensi Berita Anadolu pada 10 Julai 2023.

Siasatan dilakukan selepas pakar keselamatan siber, Viktor Markopoulos mengesan kebocoran tersebut pada 27 Jun lalu, demikian menurut portal teknologi tinggi Amerika Syarikat (AS), TechCrunch, Jumaat lalu.


Pakar keselamatan siber itu berkata, susulan penemuannya, TechCrunch segera menghubungi Pasukan Tindak Balas Insiden Komputer e-Government Bangladesh (BGD e-GOV CIRT).


Namun, menurut Markopoulos, dia tidak menerima sebarang maklum balas berhubung perkara tersebut.


Maklumat peribadi termasuk nama, nombor telefon, alamat e-mel dan nombor kad pengenalan rakyat Bangladesh boleh diakses di laman web kerajaan tersebut.


“Data yang bocor itu boleh diperoleh dengan hanya melakukan carian di laman web kerajaan yang terjejas.


“Laman web terbabit mengembalikan data lain daripada pangkalan data yang bocor seperti nama orang yang memohon untuk mendaftar dan dalam sebilangan kes, nama ibu bapa mereka turut dipaparkan,” kata TechCrunch.


Bagaimanapun, TechCrunch tidak menyebut laman web berkenaan kerana kebocoran data masih berlaku.


“Semua warganegara berumur 18 tahun dan ke atas di Bangladesh diberikan kad pengenalan yang memberikan identifikasi unik kepada setiap warganegara.


“Kad pengenalan itu adalah mandatori dan memberi rak­yat akses kepada perkhidmatan kerajaan seperti mendapatkan lesen memandu, pasport, jual beli tanah, membuka akaun bank dan lain-lain,” tambahnya.


Markopoulos berkata, mencari data itu terlalu mudah.


Dalam pada itu, Pegawai Perhubungan Awam BGD e-GOV CIRT, Sukanta Chakraborty memberitahu Anadolu bahawa pihaknya sedang meneliti pe­langgaran itu dan menganalisis dari mana dan bagaimana kebocoran data boleh berlaku.


“Kami sedang mengusahakannya. Pasukan teknikal kami dengan sokongan daripada rakan kongsi global kami memantau dan meneliti keseluruhan insiden ini dengan teliti.


Chakraborty berkata, mangsa-mangsa tidak perlu risau tentang kebocoran yang berlaku.


“Insiden kebocoran data sebegini kerap berlaku di seluruh dunia. Kita tidak boleh menafikannya. Oleh itu, ini bukan soal keupayaan atau kecekapan dalam keselamatan siber, sebaliknya ia adalah masalah global yang mana, kita tidak terlepas daripadanya,” kata Chakraborty.


Pada 2016, penggodam nyaris berjaya mencuri wang berjumlah hampir AS$1 bilion (RM4.67 bi­lion) daripada akaun Bank Pusat Bangladesh di Bank Rizab Persekutuan New York.


Bangladesh bernasib baik ke­rana penggodam yang dikaitkan dengan Korea Utara itu hanya dapat melarikan kurang 10 peratus atau AS$81 juta (RM376 juta) daripada jumlah tersebut.


Ia merupakan rompakan siber terbesar pernah berlaku dalam sejarah.


Bagaimanapun, negara itu memperoleh semula lebih AS$18 juta (RM84 juta) daripada AS$81 juta wang yang dilarikan itu pada 2018.


SUMBER – AGENSI

1 lihatan0 komen
IMG_20221230_173627.jpg
bottom of page