top of page
  • Writer's pictureMohd Ezli Mashut

Cuaca Melampau Jadi 'Normal Baharu', Perubahan Iklim Musnah Komuniti Global


Sumber Foto Hiasan : Unsplash


PERUBAHAN IKLIM | GLOBAL | LONDON: Badan Amanah Negara Britain pada 28 Disember 2022 berkata, alam semula jadi dan hidupan liar di tapak badan amal itu terjejas akibat cuaca ekstrim tahun 2021 dan memberi amaran situasi itu boleh menjadi 'normal baharu'.

Penasihat perubahan iklim badan kebajikan pemuliharaan warisan, Keith Jones, berkata keadaan itu adalah 'ilustrasi yang jelas mengenai jenis kesukaran yang akan dihadapi oleh kebanyakan spesies sekiranya kita tidak melakukan lebih banyak usaha untuk mengurangkan peningkatan suhu'.


"Kita akan mengalami lebih banyak banjir, kemarau, gelombang panas, ribut melampau serta kebakaran hutan dan ia akan menjadi lebih teruk, memecah rekod dengan kekerapan yang membimbangkan jika kita tidak mengehadkan pelepasan karbon," katanya, lapor AFP pada 28 Disember 2022.


Bumi ketika ini masih berada di luar landasan daripada hasrat yang ditetapkan oleh perjanjian iklim Paris pada 2015 untuk mengehadkan pemanasan kepada 1.5 darjah Celsius di atas paras praperindustrian untuk mengelakkan kesan terburuk perubahan iklim.


Tahun 2022, keadaan cuaca ekstrim yang diburukkan lagi oleh perubahan iklim memusnahkan komuniti di seluruh dunia, termasuklah cuaca panas terik dan kemarau di seluruh Eropah yang menyebabkan tanaman layu, kebakaran hutan dan sungai sungai-sungai utama mengering.


Ringkasan tahun Badan Amanah Negara menunjukkan, permulaan tahun yang hangat dengan suhu 16.3 Celcius direkodkan di tengah London pada 1 Januari.


Secara keseluruhan, suhu bulanan adalah sekitar 0.8 Celcius melebihi purata jangka panjang dari tahun 1991 ke 2020.


Selain itu, Ribut Eunice dan Franklin sudah menumbangkan banyak pokok di seluruh negara.


Malah, kelewatan penghijrahan burung musim bunga dan kehadiran semula burung walit kira-kira dua minggu lewat daripada biasa serta dalam jumlah yang lebih rendah.


Kehadiran anak kodok menjelang Mei, berkurangan kerana cuaca panas dan kekurangan hujan menyebabkan kolam menjadi kering.


Selesema burung juga mula melanda di banyak koloni burung laut di Kepulauan Farne, di luar pantai timur laut Inggeris serta memusnahkan burung laut yang datang ke pulau itu untuk membiak termasuk burung kittiwake, shag, camar dan puffin.


Di Strangford Lough, Ireland Utara, cuaca ekstrim pada penghujung Jun hadir bersama angin ribut, deras dan air pasang besar menyebabkan beberapa koloni burung laut terus berkurangan.


Gelombang haba yang memecahkan rekod, memuncak pada 40.3 darjah Celcius di Coningsby di tengah England, dengan keadaan kering luar biasa merentasi selatan dan timur serta kebakaran hutan merentasi sebahagian besar negara.


Malah, analisis menunjukkan spesis kelawar juga perlu diselamatkan dari panas dan pakar mengesyaki situasi cuaca memberi kesan kepada pembiakan banyak spesies burung.


Kebakaran hutan berlaku di beberapa tempat dan kolam dan sungai menjadi kering.


Pokok yang baru ditanam juga gagal hidup di beberapa tapak Amanah Negara kerana kemarau dan panas yang berpanjangan.


Banyak tempat mengalami 'musim luruh palsu' dengan pokok menggugurkan daunnya lebih awal kerana kemarau.


Jumlah rama-rama nampaknya berkurangan dan lebah dan lalat turut lenyap dalam gelombang haba.


Burung walit bagaimanapun masih aktif di Mount Stewart di Ireland Utara tetapi mereka sebulan lewat berbanding tahun-tahun sebelumnya, malah tidak berhijrah sehingga penghujung bulan.


Sesetengah bunga liar berbunga kali kedua kerana kurang sejuk.


Selain itu, burung penghijrah tanah ladang musim sejuk tiba sebulan kemudian di Mount Stewart Estate berkemungkinan disebabkan oleh suhu yang sedikit sejuk di kawasan utara tempat mereka menghabiskan musim panas dan membiak.


Selepas tahun yang sangat panas dengan rekod suhu, sebahagian besar United Kingdom (UK) kini dilanda cuaca sejuk beku.


Ini diikuti dengan cuaca yang lebih ringan, menimbulkan kebimbangan ia boleh membawa makhluk keluar daripada hibernasi.

3 lihatan0 komen
IMG_20221230_173627.jpg
bottom of page