top of page
  • Writer's pictureMohd Ezli Mashut

Ekonomi China Merosot Jejas Seluruh Asia Hingga Hujung 2023 - IMF




Sumber Foto : Unsplash


GLOBAL | BEIJING: Perkembangan perlahan ekonomi China dijangka memberi kesan terhadap kemajuan di seluruh Asia sehingga penghujung tahun 2023, tegas Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

Katanya situasi itu bakal memburukkan lagi krisis ekonomi yang melanda seluruh dunia ketika ini, lapor Agensi Berita Antarabangsa AFP pada 29 Oktober 2022.


Prospek ekonomi global semakin menyusut tahun 2022, menyaksikan banyak negara berdepan kenaikan kos hidup, kekangan kewangan dan ketidakstabilan yang tinggi berikutan perang Ukraine.


Biarpun banyak negara semakin pulih daripada pandemik Covid-19, pertumbuhan ekonomi yang perlahan di China memberi kesan kepada proses tersebut, terutamanya Beijing yang masih mengamalkan polisi sifar Covid-19.


Pada awal bulan Oktober 2022, IMF mengumumkan mengurangkan unjuran pertumbuhan untuk China kepada 3.2 peratus, sekali gus menjadi yang terkecil bagi ekonomi kedua terbesar di dunia itu dalam tempoh sekitar empat dekad.


Laporan itu juga secara tidak langsung menunjukkan unjuran pertumbuhan ekonomi Asia menurun kepada empat peratus tahun 2022.


Situasi yang berlaku di China dijangka memberi kesan meluas terhadap sektor perdagangan dan kewangan di seluruh Asia.


Peperangan yang masih berlangsung di Ukraine turut menyumbang kepada situasi tersebut apabila harga komoditi dunia naik mendadak sehingga semakin ramai penduduk tidak mampu ‘mengisi perut setiap hari’.


HILANG MOMENTUM

Pengarah IMF Asia dan Jabatan Pasifik, Krishna Srinivasan berkata, pemulihan ekonomi Asia yang pada mulanya dilihat ‘semakin kukuh’ pada awal tahun ini sebenarnya makin hilang momentum, dengan situasi dijangka parah pada tahun suku kedua.


Katanya, pertumbuhan ekonomi yang perlahan ‘boleh dijelaskan’ dengan penurunan jumlah pelaburan berikutan pandemik Covid-19 sebelum ini.


“Perpecahan ekonomi yang didorong oleh ketegangan geopolitik dan ketidaktentuan dalam dasar perdagangan boleh ‘menimbulkan risiko ketara kepada rantau Asia’.


“Selain itu, ia juga boleh menyebabkan kesan buruk makroekonomi dalam jangka pendek,” katanya.


China menjadi satu-satunya negara yang masih terikat dengan polisi Covid-19, menyaksikan proses kuarantin dan perintah berkurung berpanjangan dikenakan terhadap rakyatnya.


Dianggarkan 208 juta penduduk di China terjejas akibat polisi tersebut.


Beberapa isu lain yang turut mempengaruhi pertumbuhan perlahan ekonomi China termasuklah pemaju yang gagal membayar pinjaman kerana tidak mempunyai aliran tunai yang lancar.


EKONOMI CHINA TERUS JATUH

Data rasmi yang dikeluarkan sebelum ini menunjukkan ekonomi China berkembang 3.9 peratus buat tahun ke tahun pada suku ketiga, sekali gus menunjukkan prestasi kukuh daripada jangkaan.


Namun, penganalisis masih menjangkakan ekonomi negara itu akan terus jatuh di bawah paras sasaran pertumbuhan tahunan sebanyak 5.5 peratus.


Sementara itu, pelabur turut ‘melarikan diri dari China’ pada awal minggu ini selepas Presiden Xi Jinping mengukuhkan kedudukannya sebagai pemimpin negara buat penggal ketiga.


Hal ini kerana, ramai pelabur bimbang jika pihak berkuasa China bakal melaksanakan lebih banyak perintah berkurung akibat penularan Covid-19 yang jelas menjejaskan ekonomi.

3 lihatan0 komen
IMG_20221230_173627.jpg
bottom of page