top of page
  • Writer's pictureMohd Ezli Mashut

Hanya Beberapa Jam Mark Zuckerberg Hilang Lebih RM25 Bilion



Kekayaan peribadi Mark Zuckerberg susut lebih daripada AS$6 bilion (RM25 bilion) dalam masa hanya beberapa jam, menyebabkan kedudukannya dalam senarai manusia terkaya di dunia jatuh satu anak tangga.

Agensi Berita BLOOMBERG NEWS melaporkan ia berlaku selepas seorang pemberi maklumat tampil ke depan manakala gangguan pula menyebabkan produk utama Facebook Inc tidak dapat berfungsi dalam talian.


Penjualan besar-besaran menyebabkan saham gergasi media sosial itu menjunam 4.9 peratus, menambah kepada penurunan kira-kira 15 peratus sejak pertengahan September.


Penurunan harga saham itu menyebabkan kekayaan Zuckerberg jatuh kepada AS$121.6 bilion (RM507.8 bilion), meletakkannya di bawah Bill Gates ke tempat kelima dalam Bloomberg Billionaires Index.


Kekayaannya susut daripada hampir AS$140 bilion (RM584.7 bilion) hanya dalam masa beberapa minggu, demikian menurut indeks berkenaan.


Pada 13 September lalu, Wall Street Journal mula menerbitkan beberapa siri artikel berdasarkan dokumen dalaman, yang mendedahkan Facebook mengetahui pelbagai masalah dihadapi oleh rangkaian produknya, seperti ancaman Instagram terhadap kesihatan mental remaja perempuan dan maklumat tidak benar mengenai rusuhan Capitol pada 6 Januari lalu.


Laporan berkenaan menarik perhatian pegawai kerajaan dan seorang pemberi maklumat tampil ke depan pada 4 Oktober 2021/Isnin.


Sebagai tindak balas, Facebook menegaskan bahawa isu yang dihadapi oleh produknya, termasuk polarisasi politik adalah rumit dan bukan disebabkan oleh teknologi semata-mata.


"Saya merasakan ia memberikan ruang kepada orang ramai untuk beranggapan bahawa perlu ada penjelasan teknologi atau teknikal berhubung isu polarisasi politik di Amerika Syarikat (AS)," kata Naib Presiden Hal Ehwal Global Facebook, Nick Clegg kepada CNN.



Mark Zukerberg Mohon Maaf Gangguan Teknikal

Sementara itu, Ketua Eksekutif Facebook, Mark Zuckerberg memohon maaf susulan gangguan teknikal yang dialami platform media sosial berkenaan termasuk Instagram, aplikasi WhatsApp serta Messenger pada 4 Oktober 2021.


Mark menerusi kemas kini status di Facebook berkata, kesemua platform media sosial dan aplikasi berkenaan kini kembali online tanpa sebarang masalah dan menyedari kepentingan untuk kekal berhubung dengan orang tersayang.


“Facebook, Instagram, Whatsapp dan Messenger telah kembali beroperasi sekarang. Maaf kerana gangguan yang dialami hari ini (semalam).
“Saya tahu betapa anda semua bergantung pada perkhidmatan kami untuk kekal berhubung dengan orang tersayang,” tulis kemas kini berkenaan.

Sebelum itu, Facebook mengalami gangguan teknikal selama hampir enam jam yang mengakibatkan pengguna di seluruh dunia gagal mengakses akaun mereka.


“Kami menyedari ada pengguna yang mengalami masalah untuk mengakses aplikasi dan produk kami. Kami sedang berusaha untuk menyelesaikan perkara ini secepat mungkin dan memohon maaf di atas kesulitan yang dialami.


“Kepada komuniti besar perniagaan di seluruh dunia yang bergantung kepada kami, kami memohon maaf dan sedang berusaha keras untuk mengembalikan akses kepada aplikasi dan servis kami dan ia dilaporkan sedang kembali online sekarang. Terima kasih kerana setia dengan kami,” kata Facebook menerusi satu tulisan di laman Twitter.




Tinjauan di laman Twitter mendapati, masalah teknikal tersebut kini menjadi ‘trending’ di seluruh dunia dengan pelbagai tanda pagar seperti #internetshutdown, #facebookdown dan #MarkZuckerber yang mana digunakan oleh orang ramai untuk meluahkan ketidakpuasan hati mereka.


Sementara itu, susulan gangguan teknikal tersebut, Mark Zuckerberg yang juga pemegang saham terbesar syarikat sosial media berkenaan terpaksa menganggung kerugian sebanyak AS$5.9 bilion seperti yang dilaporkan Forbes apabila saham Facebook menjunam sebanyak 5 peratus.


Kesilapan Perubahan Konfigurasi Pada 'Router'

KESILAPAN perubahan konfigurasi pada 'router' dikesan sebagai punca operasi platform media sosial kendalian syarikat tergendala hampir enam jam.


Facebook Inc dalam kenyataan media pada 4 Oktober/Isnin berkata kesilapan itu menghalang sekitar 3.5 bilion pengguna platform Facebook, Instagram dan WhatsApp daripada mengakses media sosial dan perkhidmatan pesanannya.


"Pasukan kejuruteraan kami mendapati bahawa perubahan konfigurasi pada 'backbone router' yang menyelaraskan trafik rangkaian di antara pusat data kami menjadi punca masalah yang mengganggu komunikasi ini," kata Facebook.


Pada 4 Oktober 2021/Isnin, jutaan pengguna platform laman sosial Facebook termasuk WhatsApp, Messenger dan Instagram tidak dapat mengakses ke laman-laman tersebut sejak tengah malam Isnin.


Laman sesawang pengesanan gangguan Downdetector.com menunjukkan lebih 126,490 pengguna berdepan masalah itu di Facebook sejak kira-kira jam 12 malam, dengan lebih 9,600 mengalami masalah akses ke Facebook Messenger.


Susulan kejadian, pengasas bersama Facebook, Mark Zuckerberg memohon maaf kepada jutaan pengguna susulan gangguan pada platform media sosial itu.





55 lihatan0 komen
IMG_20221230_173627.jpg
bottom of page