top of page
  • Writer's pictureMohd Ezli Mashut

Honda Kekal Jenama Kereta Bukan Nasional Nombor Satu, Sembilan Tahun Berturut


Sumber Foto : Unsplash


AUTOMOTIF | Honda Malaysia merekodkan jualan kira-kira 80,200 unit pada 2022, sekali gus mencapai sasaran 80,000 unit dengan peningkatan 51 peratus berbanding jualan keseluruhan pada 2021.

Pencapaian cemerlang pada 2022 itu membolehkan Honda Malaysia mengekalkan kedudukannya sebagai jenama kereta nombor satu dalam segmen kenderaan penumpang bukan nasional selama sembilan tahun berturut-turut sejak 2014.


Daripada segi jualan keseluruhan, Mac merekodkan angka tertinggi dengan lebih daripada 10,500 unit kereta dijual pada bulan berkenaan.


Dalam kenyataan media pada 5 Januari 2023, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Hironobu Yoshimura berkata 2022 adalah tahun yang mencabar dengan kekurangan cip global dan bencana banjir menjejaskan pengeluaran kereta syarikat.



"Honda Malaysia beralih ke gear lebih tinggi pada 2022 dan mengatasi sasaran jualan dengan sokongan kukuh daripada semua pihak berkepentingan.


"Kami mahu menzahirkan penghargaan kepada semua pelanggan dan pengedar di atas sokongan tidak berbelah bahagi kepada jenama Honda, selain kerajaan Malaysia kerana melanjutkan pengecualian cukai jualan.


"Honda Malaysia menghargai pelanggan dan kami akan terus berusaha untuk meningkatkan tahap kepuasan mereka. Kami bekerjasama erat dengan pembekal dan pengedar untuk memastikan penghantaran tepat pada waktunya kepada pelanggan, khususnya mereka yang menempah kereta semasa tempoh pengecualian cukai jualan," katanya.


Prestasi jualan cemerlang pada 2022 disumbangkan oleh pelancaran Civic pada Januari.


Honda Malaysia kemudiannya melancarkan HR-V pada Julai 2022, yang meningkatkan penanda aras dalam segmen kenderaan utiliti sukan (SUV) kompak dan menjadi salah satu tiga penyumbang terbesar kepada jualan keseluruhan syarikat.


Ia menutup 2022 dengan meyakinkan menerusi pelancaran Civic e:HEV RS pada November, yang menerima sambutan memberangsangkan daripada pasaran.


Kereta paling laris Honda pada 2022 adalah model segmen-B, City, yang menyumbang 36 peratus kepada jualan keseluruhan syarikat.


City Hatchback dan HR-V adalah antara tiga model paling laris, masing-masing mencatatkan 20 peratus dan 14 peratus daripada jualan keseluruhan Honda Malaysia.

5 lihatan0 komen
IMG_20221230_173627.jpg
bottom of page