top of page
  • Writer's pictureMohd Ezli Mashut

Iklim Berubah, Suhu Melampau Ancam 70 Peratus Negara Pengeluar Makanan Global Menjelang 2045

Updated: 10 Sep 2022


Sumber Foto : Unsplash


CUACA GLOBAL | PARIS: Cuaca melampau dengan suhu terlalu panas bukan saja mengundang risiko kepada pekerja pertanian, malah mengancam bekalan makanan global menjelang 2045.

Agensi Berita Antarabangsa AFP pada 8 September 2022 melaporkan perubahan iklim yang berlaku mencetuskan gelombang haba serta cuaca melampau lain di seluruh dunia dengan musim panas dari India ke Eropah tahun ini dijangka memberi kesan kepada hasil tanaman.


Peningkatan suhu mengundang kebimbangan terhadap risiko kesihatan terutama bagi mereka yang bekerja di lapangan, khususnya di kawasan yang memiliki kadar kelembapan tinggi.


Ancaman itu dikesan menerusi penilaian risiko dilakukan oleh syarikat Verisk Maplecroft yang mendapati tekanan haba menyebabkan risiko melampau di 20 negara pertanian termasuk India.


Ketua Iklim dan Daya Tahan Verisk Maplecroft, Will Nichols, berkata lebih membimbangkan, risiko itu dijangka menular ke 64 negara menjelang 2045, mewakili 71 peratus rantaian bekalan makanan global, termasuk China, India, Brazil dan Amerika Syarikat (AS).


"Dengan peningkatan suhu global dan tekanan haba, kita akan menyaksikan ia memberi kesan kepada hasil tanaman di negara beriklim sederhana," katanya.


Berdasarkan penilaian itu, paling terkesan adalah tanaman padi selain koko serta tomato.


Set data tekanan haba oleh syarikat itu diperoleh menggunakan maklumat suhu daripada Pejabat Meteorologi United Kingdom (UK), dengan penilaian risiko dilaksanakan di negara di seluruh dunia.


Ia berdasarkan senario terburuk yang mendorong kepada peningkatan suhu sebanyak dua darjah Celsius melebihi kadar pra industri seawal tahun 2045.


Bagaimanapun, penyelidik menekankan bahawa berdasarkan unjuran semasa, walaupun seluruh dunia mempertingkatkan usaha mengurangkan pelepasan karbon, suhu global akan tetap meningkat sekitar dua darjah Celsius.


India, yang bertanggungjawab untuk 12 peratus pengeluaran makanan global pada 2020 dan bergantung pada produktiviti buruh, sudah pun dinilai sebagai berisiko tinggi, satu-satunya negara pertanian utama dalam kategori itu pada suhu semasa.

Namun, senarai negara yang bakal terkesan semakin bertambah menjelang 2045.


Sembilan daripada 10 negara dijangka terkesan pada 2045 adalah di Afrika, dengan pengeluar koko kedua terbesar iaitu Ghana, Togo dan Republik Afrika Tengah merekodkan penilaian terburuk.


Sebanyak 20 negara lain yang dijangka berdepan risiko sama termasuk pengeluar beras, Kemboja, Thailand dan Vietnam apabila ada pesawah di Vietnam sudah mula bekerja pada waktu malam bagi mengelakkan cuaca panas.


Manakala negara ekonomi utama dunia seperti AS dan China turut menyaksikan risiko terhadap pertanian pada tahun berkenaan, walaupun kesannya hanya membabitkan beberapa daerah.

Di Eropah, tujuh daripada 10 negara turut berdepan risiko serupa.


"Walaupun ramai daripada kita duduk di negara Barat, di mana kita mungkin fikir kita lebih terlindung daripada beberapa ancaman ini, sebenarnya tidak seperti itu.


"Kedua-dua bentuk risiko fizikal yang dihadapi termasuk kesan kejatuhan akibat rantaian bekalan," kata Nichols.

10 lihatan0 komen
IMG_20221230_173627.jpg
bottom of page