top of page
  • Writer's pictureMohd Ezli Mashut

IMF, Bank Dunia Beri Amaran Dunia Bakal Terkena Impak Kesan Perang Ukraine-Russia


Grafik tangkap layar laman sesawang The Guardian


GLOBAL | Pimpinan Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menyatakan kesediaan membantu Ukraine, selain memberi amaran pencerobohan Russia bakal memberi kesan terhadap proses pemulihan ekonomi global.

Agensi Berita Antarabangsa AFP pada 25 Februari 2022 melaporkan Pengarah Urusan IMF, Kristalina Georgieva, menzahirkan kebimbangan impak serangan itu terhadap penduduk Ukraine, dan mengingatkan konflik itu menambah risiko ekonomi yang signifikan kepada rantau itu dan seluruh dunia.


IMF memaklumkan pihaknya masih menilai kesan ekonomi akibat serangan itu, namun sedia membantu anggotanya yang memerlukan.


Pemberi pinjaman yang berpusat di Washington itu dalam proses menyalurkan bantuan berjumlah AS$2.2 bilion (RM9.2 bilion) kepada Ukraine menerusi satu program pinjaman yang dijadualkan berakhir Jun depan.


Menurut Georgieva, IMF juga boleh memberi bantuan kepada beberapa negara lain yang turut terkesan dengan kesan limpahan konflik itu, sekiranya ia diperlukan.


Presiden Bank Dunia, David Malpass, pula memaklumkan pemberi pinjaman pembangunan berpusat di Washington itu terkejut dengan keganasan dan konflik yang meragut nyawa di Ukraine.



Beliau memberi amaran bahawa kemusnahan pembangunan di Ukraine akan memberi kesan besar pada ekonomi dan sosial.


"Kami bersedia memberikan bantuan segera kepada Ukraine dan sedang menyediakan pilihan bagi bantuan seumpamanya, termasuk kewangan pembayaran pantas," katanya dalam satu kenyataan.


Beliau berkata, Bank Dunia dan IMF sedang bekerjasama untuk memantau kesan serangan Russia di Ukraine.


Konflik yang semakin memuncak itu menyebabkan harga minyak melonjak ke paras tertinggi sejak 2014, sekali gus menambah kebimbangan tekanan inflasi global.


Januari lalu, IMF mengurangkan jangkaan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dunia untuk tahun ini kepada 4.4 peratus, separuh mata lebih rendah berbanding jangkaan asal, akibat gelombang baharu COVID-19.


Di sebalik beberapa sekatan dikenakan Amerika Syarikat (AS) terhadap Russia, penganalisis percaya Moscow sudah melakukan persediaan sejak beberapa tahun lalu untuk berdepan sekatan berkenaan, dengan mengumpul wang tunai dan emas serta memiliki kadar hutang yang rendah.


Penganalisis Institut Kewangan Antarabangsa, Elina Ribakova, percaya perkara itu bukan kebetulan, sebaliknya sebahagian daripada 'strategi kubu Russia'.

"Ia adalah perubahan terancang dalam dasar ekonomi makro untuk memudahkan mereka mencapai matlamat geopolitik. Mereka ada simpanan untuk melindungi mereka," katanya.


Sementara itu, Presiden Bank Rizab Persekutuan Cleveland, berkata bank pusat AS akan memantau kesan konflik itu terhadap negara ekonomi terbesar dunia berkenaan.

23 lihatan0 komen
IMG_20221230_173627.jpg
bottom of page