top of page
  • Writer's pictureMohd Ezli Mashut

IMF beri amaran kelembapan ekonomi dunia hingga 2024




EKONOMI | WASHINGTON: Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menaikkan sedikit tinjauan pertumbuhan global tahun 2023 didorong oleh aktiviti sektor perkhidmatan yang berdaya tahan pada suku pertama dan pasaran pekerjaan yang kukuh.

Namun, di sebalik tinjauan ekonomi yang sedikit lebih baik, pertumbuhan global dijangka perlahan kepada tiga peratus tahun 2023 dan akan kekal pada paras itu pada 2024 disebabkan oleh pertumbuhan lemah dalam kalangan ekonomi maju dunia, demikian menurut IMF dalam laporan terbaharu Tinjauan Ekonomi Dunia (WEO).


"Kita masih lagi belum keluar daripada kesukaran dan pertumbuhan kekal rendah," kata Ketua Ahli Ekonomi IMF, Pierre-Olivier Gourinchas dalam satu temu bual bersama AFP menjelang penerbitan laporan berkenaan.


Unjuran pertumbuhan global bagi tahun ini dinaikkan sebanyak 0.2 mata peratusan daripada unjuran terakhir IMF pada April 2023, meletakkan ekonomi dunia dalam landasan untuk mencatatkan pertumbuhan tiga peratus bagi 2023 dan 2024.


Angka itu merosot daripada pertumbuhan ekonomi global 6.3 peratus pada 2021 dan 3.5 peratus tahun lalu, kata IMF dalam kemas kini WEO.


IMF mengeluarkan unjuran jangka sederhana terendah sejak 1990-an, dengan memetik pertumbuhan penduduk yang perlahan dan era kepesatan ekonomi beberapa negara termasuk China dan Korea Selatan telah berakhir.


IMF berkata, gambaran inflasi global walau bagaimanapun telah bertambah baik dengan harga pengguna kini diunjurkan meningkat sebanyak 6.8 peratus tahun ini, turun 0.2 mata peratusan daripada unjuran sebelumnya pada April.


Ini sebahagian besarnya disebabkan oleh inflasi yang rendah di China, kata IMF, sambil menambah bahawa inflasi global masih di atas paras prapandemik pada kira-kira 3.5 peratus.


IMF menaikkan tinjauan bagi pertumbuhan Amerika Syarikat (AS) tahun ini kepada 1.8 peratus, meningkat 0.2 mata peratusan berbanding April, dengan memetik peningkatan perbelanjaan yang berdaya tahan pada suku pertama.


Pasaran pekerjaan yang masih sempit dalam ekonomi terbesar dunia itu telah menyokong peningkatan pendapatan benar dan melonjakkan pembelian kenderaan, kata IMF dalam laporan itu.


Institusi kewangan itu menjangkakan pertumbuhan di AS akan merosot kepada satu peratus tahun depan, apabila simpanan yang dikumpul semasa pandemik mulai susut dan ekonomi kehilangan momentum.


"Kami jangka dengan berhati-hati bahawa ekonomi AS boleh mengelak daripada meleset, dan mencapai sasaran inflasi tanpa mengalami kemelesetan pada masa akan datang," kata Gourinchas kepada AFP.


"Namun, laluannya adalah amat sempit," tambahnya.


Dalam tinjauan April lalu, sebahagian besar pertumbuhan global tahun 2023 diunjurkan datang daripada pasaran sedang pesat membangun dan ekonomi sedang membangun (EMDE) seperti India dan China, dengan aktiviti dalam ekonomi maju diramalkan berkembang perlahan tahun ini dan tahun depan.


Ekonomi maju diunjurkan berkembang sebanyak 1.5 peratus tahun ini, meningkat 0.2 mata peratusan daripada April, dan 1.4 peratus pada 2024.


Sumber - AFP/25 Julai 2023

1 lihatan0 komen
IMG_20221230_173627.jpg
bottom of page