top of page
  • Writer's pictureMohd Ezli Mashut

Indonesia Alami Cuaca Kering 2023, Risiko Kebakaran Hutan


Sumber Hiasan : Unsplash


GLOBAL | CUACA | JAKARTA: Indonesia dijangka menghadapi cuaca paling kering sejak 2019 pada tahun 2023, menurut ramalan agensi cuaca negara itu pada 29 Disember 2022.

Badan Meteorologi Klimatologi dan Geofisika (BMKG) memberi amaran bahawa hujan yang berkurangan boleh meningkatkan risiko kebakaran hutan, manakala trend tiga tahun lalu juga mencadangkan peningkatan risiko gempa bumi dan tsunami.


"Mulai Mei hingga April 2023, ia akan semakin kering berbanding tiga tahun lalu, jadi risiko kebakaran hutan meningkat," kata Pengarah BMKG, Dwikorita Karnawati kepada pemberita, lapor REUTERS pada 30 Disember 2022.


Beliau berkata pengaruh La Nina, yang merujuk kepada penyejukan suhu permukaan laut yang digabungkan dengan angin dan hujan, akan berakhir sekitar Mac 2023, menyebabkan taburan hujan lebih rendah.



Dwikorita berkata musim kemarau tahun 2023 mungkin sama seperti pada 2019, apabila lebih 1.65 juta hektar hutan terbakar. Kebakaran itu menyebabkan negara menanggung kerosakan dan kerugian ekonomi sekurang-kurangnya AS$5.2 bilion (RM23 bilion) menurut anggaran Bank Dunia.

Indonesia telah dapat mengehadkan kerugian sejak itu, dengan hanya lebih 200,000 hektar hutan dan tanah terbakar antara Januari dan November tahun 2022, data kementerian alam sekitar menunjukkan.


Bagi mengelak kebakaran hutan, Dwikorita berkata BMKG bersama kementerian alam sekitar akan melakukan pengubahsuaian cuaca pada April atau Mei. Istilah ini biasanya merujuk kepada pembenihan awan - menembak suar garam untuk mencetuskan hujan di kawasan kering.


Walaupun kemarau di kawasan penanaman kelapa sawit utama pada 2019 turut menjejaskan pengeluaran pada tahun itu, BMKG tidak membuat ramalan mengenai kesan cuaca 2023 terhadap tanaman.

5 lihatan0 komen
IMG_20221230_173627.jpg
bottom of page