top of page
  • Writer's pictureMohd Ezli Mashut

Jet NASA boleh terbang dari London ke New York dalam 90 minit



Sumber Foto : NASA


TEKNOLOGI | NEW YORK: Agensi Aeronautik dan Angkasa Lepas (NASA) sedang menerokai potensi jet supersonik yang boleh membawa penumpang komersial dari London ke New York dalam masa 90 minit.

Pusat Penyelidikan Glenn NASA mendedahkan sedang meneliti peluang perniagaan untuk perjalanan supersonik, yang berpotensi membolehkan jet melepasi Atlantik pada kelajuan antara 1,500 dan 3,000mph.


Pesawat kini terbang pada kelajuan kira-kira 600mph dan penerbangan London ke New York mengambil masa kira-kira lapan jam secara purata.


Syarikat termasuk Boeing dan Rolls-Royce diberikan kontrak untuk menghasilkan pelan hala tuju yang berpotensi menjadikan perjalanan itu sebagai kenyataan, termasuk konsep reka bentuk untuk pesawat penumpang supersonik.


Pengurus projek teknologi hipersonik NASA, Mary Jo Long-Davis, berkata konsep reka bentuk dan hala tuju berteknologi sangat penting untuk dimiliki.


"Kami juga sedar mengenai keperluan untuk mengambil kira keselamatan, kecekapan, pertimbangan ekonomi dan masyarakat.


"Penting untuk berinovasi secara bertanggungjawab supaya kami dapat mengembalikan faedah kepada pengguna dan tidak membahayakan alam sekitar," katanya kepada laman web news.sky.com.


Projek NASA menghasilkan X-59, sebuah jet penyelidikan seperti Concorde yang direka oleh kontraktor pertahanan Lockheed Martin yang boleh bergerak pada 937mph pada ketinggian 55,000 kaki tanpa menghasilkan bunyi yang mengganggu orang awam.

Mereka berharap untuk menjalankan ujian penerbangan ke bandar AS pada 2024 dan mengumpulkan data mengenai maklum balas penduduk tempatan terhadap bunyi itu, dengan harapan dapat memaklumkan perubahan kepada peraturan penerbangan.


Ini akan mengikuti jejak Concorde, pesawat supersonik pertama di dunia.


Pesawat itu memegang rekod penerbangan komersial terpantas di antara New York dan London dalam tempoh dua jam, 52 minit dan 59 saat pada 1996.


Pesawat itu tidak lagi diterbangkan kerana pengendali British Airways dan Air France kurang permintaan dan peningkatan kos penyelenggaraan.


Concorde terakhir berlepas tiga tahun selepas pesawat Air France Concorde 4590 terhempas ke dalam sebuah hotel sejurus selepas berlepas dari Paris, membunuh 109 orang di atas kapal dan empat orang di darat.


Sumber - AGENSI

5 lihatan0 komen
IMG_20221230_173627.jpg
bottom of page