top of page
  • Writer's pictureMohd Ezli Mashut

Kajian Dapati Ramai Sedia Jual Kereta Jika Pengangkutan Awam Cekap


Foto Hiasan : Unsplash


PENGANGKUTAN | Semakin ramai rakyat Malaysia bercadang menjual kereta jika memiliki akses lebih baik kepada pengangkutan awam dan skuter elektrik, demikian tinjauan awam dilaksanakan Beam Mobility.

Kajian itu membabitkan 1,008 responden, sejumlah 76 peratus daripada 670 rakyat Malaysia yang menggunakan kereta ketika ini bercadang untuk beralih kepada penggunaan skuter elektrik dan pengangkutan awam.


"Sejumlah 26 peratus responden yang memiliki kereta lebih cenderung menjualnya jika mereka memiliki akses yang lebih baik kepada skuter elektrik dan pengangkutan awam.


"Ini kerana pada mereka kereta persendirian kurang berbaloi untuk disimpan," katanya, lapor BH Online pada 20 September 2022.


Menurut Beam Mobility, walaupun memiliki kereta dianggap sebagai satu fasa di mana belia beralih ke peringkat seterusnya, namun keadaan itu telah berubah sejak beberapa tahun kebelakangan ini.


"Di peringkat global, permohonan untuk lesen memandu berada dalam aliran menurun dan kini berada pada tahap terendah sejak Perang Dunia Kedua. Trend ini boleh dilihat di Malaysia juga – sementara minat untuk kereta masih kekal bagi sesetengah orang, namun jumlah itu semakin berkurangan," katanya.


Beam Mobility mendedahkan, permohonan lesen memandu adalah kerumitan yang tidak perlu untuk golongan milenium dan Gen Z dengan jumlahnya semakin meningkat.


"Memiliki kereta sendiri adalah lebih membebankan, terutamanya apabila faktor kewangan diambil kira. Apabila jumlah kos pemilikan kereta (dalam tempoh pinjaman lima tahun) boleh menelan kos sekitar RM95,000, program perkongsian kereta atau pengangkutan awam mungkin menjadi alternatif yang lebih baik dalam banyak aspek," katanya.


Menurut data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), rakyat Malaysia membelanjakan purata RM611 sebulan untuk pengangkutan sahaja, merangkumi 13.5 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan.


Malaysia juga terkenal dengan kos pemilikan kereta yang tinggi dengan Kuala Lumpur disenaraikan sebagai bandar raya kelima paling mahal untuk membeli kereta bersaiz sederhana.


"Di samping itu, idea untuk memiliki kereta yang susut nilainya dari tahun ke tahun bukanlah idea yang disenangi ramai hari ini," kata Beam Mobility.


Bagi mereka yang mampu membeli kereta persendirian dengan selesa, mereka masih terbeban dengan lalu lintas sesak setiap hari dengan rata-rata pemandu di Lembah Klang menghabiskan 44 jam setiap bulan untuk terperangkap dalam kesesakan trafik.


"Waktu ini sebaliknya boleh digunakan untuk rutin kecergasan atau menghabiskan masa berkualiti bersama keluarga bagi membantu mengekalkan kesejahteraan fizikal dan mental yang sihat," katanya.

10 lihatan0 komen
IMG_20221230_173627.jpg
bottom of page