top of page
  • Writer's pictureMohd Ezli Mashut

Komet Leonard Dilihat Paling Terang, Hampiri Bumi 12 Dis 2021

Updated: 7 Dis 2021


Austrian astrophotographer Michael Jaeger took the picture on Nov. 11th using an 11-inch telescope. SPACE WEATHER


Komet paling terang pada 2021 sedang menuju ke Bumi. Pada 12 Disember 2021, Komet Leonard (C/2021 A1) dijangka berada hanya 35 juta kilometer jauhnya dan boleh dilihat dengan mata kasar di langit.

Ahli astronomi Greg Leonard menemui komet yang kini menggunakan namanya - C/2021 A1 (Leonard) - pada 3 Januari 2021, di Balai Cerap Mount Lemmon di Arizona.


Komet ini pada mulanya kelihatan dari Hemisfera Utara. Tetapi ia akan kelihatan dari Hemisfera Selatan pada Disember 2021 dan Januari 2022.


Adakah Komet Leonard boleh dilihat dengan mata tanpa bantuan? Ada kemungkinan. Ini mungkin komet paling terang tahun ini dan akan memberikan tontonan yang menarik kepada pemerhati yang menggunakan kamera dedahan panjang, malah teropong dan teleskop terkecil.


Satu ciri yang menakjubkan bagi pelawat angkasa ini ialah ia adalah komet yang sangat laju. Ia bergerak pada kelajuan 158,084 batu sejam (254,412 km/j atau 70.67 km sesaat) berbanding Bumi.


Laman Sesawang SPACE WEATHER melaporkan Astrofotografer Austria Michael Jaeger mengambil gambar itu pada 11 November 2021 menggunakan teleskop 11 inci.


Komet itu bersinar seperti bintang magnitud ke-9 di buruj utara Canes Venatici (Anjing Pemburu).


Pada bulan berikutnya, kecerahan komet akan meningkat secara mendadak, mungkin lebih daripada 100 kali ganda.


Kedudukan Komet Leonard. Tangkap layar laman sesawang https://theskylive.com/cometleonard-info


Kebanyakan peramal bersetuju bahawa Komet Leonard akan mencapai magnitud +4, sasaran mudah untuk teleskop kecil dan boleh dilihat dengan mata kasar dari tapak langit gelap pada minggu kedua bulan Disember.


Apabila komet menghampiri matahari pada awal Januari 2022, penyerakan cahaya matahari ke hadapan melalui atmosfera berdebu komet boleh menghasilkan lonjakan tambahan dalam kecerahan kepada magnitud +1.


Fenomena yang sama berlaku pada Komet McNaught pada tahun 2007, menjadikannya kelihatan pada siang hari.


Bacaan Lanjut:

1. Comet Leonard still might become 2021’s brightest


2. COMET LEONARD IS COMING


3. Additional information about Comet Leonard (C/2021 A1) available on TheSkyLive




Sumber Grafik: MYSA


Berikut adalah maklumat tambahan yang dikeluarkan Agensi Angkasa Malaysia (MYSA)

Komet Leonard atau dikenali sebagai C/2021 A1 telah ditemui oleh ahli astronomi, Gregory J. Leonard yang bertugas di Balai Cerap Gunung Lemmon berhampiran dengan Tucson Arizona pada 3 Januari 2021.


Ketika itu, magnitud ketara (kecerahan) komet Leonard adalah +19 dan berada pada jarak 5AU dari Matahari (bersamaan dengan jarak purata Musytari dari Matahari).


Petunjuk awal semasa penemuan komet tersebut menjangkakan komet Leonard akan menunjukkan keistimewaannya menjelang penghujung tahun 2021.


Komet Leonard pada mulanya kelihatan dari langit Hemisfera Utara dan kini akan kelihatan dari Hemisfera Selatan pada Disember 2021 dan Januari 2022. Komet Leonard dikenali sebagai komet ultralaju kerana bergerak pada kelajuan 254,412 km/j atau 70.67 km/saat berbanding Bumi.


Pengiraan orbit menunjukkan komet Leonard telah mengambil 35,000 tahun terakhir menuju ke arah Matahari selepas berada pada kedudukan aphelion iaitu sekitar 3,500AU dari Matahari. Dalam kata lain, komet Leonard tidak akan kelihatan lagi selepas kedudukan perihelion kali ini dan ia akan menjauhi Matahari.


Kini, komet Leonard sedang menuju ke arah Matahari dan ia akan berada pada kedudukan paling hampir dengan Matahari (perihelion) pada 3 Januari 2022.


Komet akan kelihatan sangat terang ketika berada pada kedudukan perihelion.


Sepanjang Disember 2021, komet Leonard menuju ke arah Matahari dan akan berada pada kedudukan paling dekat dengan Bumi pada 12 Disember 2021 dengan jarak purata 34 juta km.


Selepas 5 hari, iaitu pada 18 Disember 2021, komet ini akan menghampiri Zuhrah pada jarak 4.2 juta km. Dan kemudian akan mengelilingi Matahari pada 3 Januari 2022 pada jarak kira-kira 0.6 AU atau 90 juta km. Komet Leonard sukar dicerap dengan mata kasar.


Walau bagaimanapun, kita boleh menggunakan binokular atau teleskop untuk mencerap komet Leonard pada Disember 2021 dan Januari 2022.


𝗕𝗮𝗴𝗶 𝗺𝗮𝘀𝘆𝗮𝗿𝗮𝗸𝗮𝘁 𝗠𝗮𝗹𝗮𝘆𝘀𝗶𝗮, 𝗸𝗼𝗺𝗲𝘁 𝗟𝗲𝗼𝗻𝗮𝗿𝗱 𝗮𝗸𝗮𝗻 𝗸𝗲𝗹𝗶𝗵𝗮𝘁𝗮𝗻 𝗱𝗶 𝗹𝗮𝗻𝗴𝗶𝘁 𝗠𝗮𝗹𝗮𝘆𝘀𝗶𝗮 𝗽𝗮𝗱𝗮 𝗸𝗲𝗱𝘂𝗱𝘂𝗸𝗮𝗻 𝗿𝗲𝗻𝗱𝗮𝗵 𝗱𝗶 𝘂𝗳𝘂𝗸 𝘁𝗶𝗺𝘂𝗿 𝗹𝗮𝘂𝘁 𝘀𝗲𝗯𝗲𝗹𝘂𝗺 𝗠𝗮𝘁𝗮𝗵𝗮𝗿𝗶 𝘁𝗲𝗿𝗯𝗶𝘁 𝗺𝘂𝗹𝗮𝗶 𝘀𝗲𝗸𝗮𝗿𝗮𝗻𝗴 𝗵𝗶𝗻𝗴𝗴𝗮 𝟭𝟮 𝗗𝗶𝘀𝗲𝗺𝗯𝗲𝗿 𝟮𝟬𝟮𝟭.


Komet Leonard akan kelihatan di ufuk barat daya sejurus selepas Matahari terbenam mulai 13 Disember 2021 hingga penghujung Januari 2022.

.

Nota kaki:


◾️Komet ialah jasad cakerawala yang terdiri daripada gumpalan batu, ais dan debu serta campuran gas yang bergerak mengelilingi Matahari dalam Sistem Suria. Ia membeku apabila menjauhi Matahari tetapi akan mengewap membentuk kepala bergas (coma) dan ekor apabila mendekati Matahari.


◾️Unit astronomi (Astronomical Unit) disingkatkan sebagai AU, adalah jarak purata antara Matahari dan Bumi. 1AU bersamaan dengan 1.5 x10⁸ km.


◾️Perihelion ialah kedudukan dalam orbit apabila sesuatu planet atau komet berada paling hampir dengan Matahari.


◾️Magnitud ketara ialah kecerahan sesuatu objek di langit malam.


SUMBER RUJUKAN:




35 lihatan0 komen
IMG_20221230_173627.jpg
bottom of page