top of page
  • Writer's pictureMohd Ezli Mashut

Malaysia Diramal Jadi Negara 80 Peratus Bandar Menjelang 2030




Kawasan bandar di Malaysia dijangka bertambah hingga 80 peratus menjelang 2030, demikian menurut Pengarah Eksekutif United Nations Human Settlements Programme (UN-Habitat).


Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif berkata antara cabaran yang dikenal pasti berkait rapat dengan pertambahan kadar urbanisasi adalah pemisahan antara kawasan bandar dan luar bandar, kekurangan perumahan mampu milik dan kawasan lapang, mobiliti dan penghubung perbandaran yang lemah, kesesakan lalu lintas selain masalah sosial.


Katanya sebagai perancang bandar dan komuniti perancang secara umumnya, kita perlu berusaha untuk membantu orang ramai memahami keadaan sosio-politik sekitar dengan memberikan gambaran yang lebih baik, jelas dan kukuh mengenai masa depan.


"Dalam masa sama, cadangan serta ramalan ini akan dapat membentuk dasar dan perundangan perbandaran yang lebih progresif.


"Di samping itu, adalah menjadi tanggungjawab perancang bandar untuk terus memacu usaha mencapai penambahbaikan dan kualiti hidup yang lebih baik bagi setiap generasi," katanya, lapor BH Online pada 31 Ogos 2021/Selasa.


Beliau berkata demikian pada majlis perasmian pelancaran Ekspo Bandar Malaysia 2021 (CEM 2021) secara maya,


Hadir sama, Presiden Pertubuhan Perancang Malaysia (MIP), Datin Noraida Saludin dan Pengerusi CEM 2021, Ihsan Zainal Mokhtar.


CEM 2021 yang akan dianjurkan selama sebulan bermula 8 November hingga 8 Disember ini akan dijalankan sepenuhnya secara maya.


Ia direka bagi memacu perbahasan berkaitan isu perbandaran serta membolehkan pihak berkepentingan berkongsi idea dan penyelesaian dalam menangani cabaran akibat daripada proses urbanisasi.


Ekspo ini akan mengetengahkan peranan perancang bandar sebagaimana yang dizahirkan oleh MIP di negara ini serta rakan-rakan seangkatannya.


Sementara itu, Noraida berkata memandangkan Malaysia adalah salah satu negara dengan kadar urbanisasi yang tertinggi di Asia, perbincangan mengenainya adalah amat kritikal.


"Amalan perancangan yang baik sebagai panduan lebih jelas akan dapat memberikan manfaat kepada jutaan penduduk Malaysia yang tinggal di kawasan bandar baik pada masa ini mahupun akan datang.


"Tahun ini juga adalah masa yang terbaik bagi semua pengamal perancangan bandar untuk mengkaji secara lebih kritikal amalan mereka, memandangkan perancangan bandar sudah bertapak secara rasmi selama seabad di Malaysia," katanya.




8 lihatan0 komen
IMG_20221230_173627.jpg
bottom of page