top of page
  • Writer's pictureMohd Ezli Mashut

Mesin pungut sawit jimat kos


Foto Sumber: BH Online


INOVASI | Sekumpulan penyelidik di Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) mencipta jentera pemungut buah sawit relai yang cekap dan menjimatkan kos.


Ketua Pengarah MPOB, Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir, berkata jentera itu adalah hasil daripada penyelidikan MPOB yang diketuai oleh Mohd Ramdhan Mohd Khalid.


Beliau berkata, produk inovasi MPOB itu menawarkan penyelesaian kepada industri sawit yang bergantung kepada kaedah manual dalam mengutip buah sawit relai di ladang, lapor BH Online pada 28 Mei.


Katanya, sektor perladangan sawit ketika ini memerlukan sistem pemungutan buah sawit relai yang praktikal serta mampu menjimatkan kos.


"Teknologi MPOB ini akan mengubah operasi pungutan buah sawit relai secara konvensional, di mana buah relai yang dikumpulkan secara manual akan dimasukkan ke dalam bekas atau beg," katanya dalam satu kenyataan.


Ahmad Parveez berkata, kaedah konvensional bukan saja menuntut tenaga kerja dan memakan masa tetapi ia turut membebankan dan tidak produktif.


Lantaran itu, katanya, teknologi yang dibangunkan oleh MPOB ini boleh dipasang pada jentera penggerak utama atau traktor mini.


"Dengan menggunakan konsep siklon, buah sawit relai akan disedut ke dalam bekas berbentuk silinder atau tong. Konsep ini juga mampu memisahkan buah sawit relai daripada sampah sarap.
"Semasa buah relai berpusing di dalam ruang tong, buah yang berat akan jatuh ke bahagian bawah tong kerana kehilangan tenaga sementara sampah sarap yang lebih ringan seperti daun kering akan disedut keluar dari sistem.

"Jentera pemungut buah sawit relai itu akan meningkatkan produktiviti pekerja dan turut memperbaiki cara bekerja, sekali gus menghasilkan pendapatan yang lebih tinggi," katanya.


MPOB turut menandatangani perjanjian dengan RZtech Resources Sdn Bhd bagi tujuan pengkomersialan.


Mengulas lanjut, Ahmad Parveez berkata, aktiviti penyelidikan yang komprehensif dalam membangunkan teknologi yang sesuai dan cekap sudah dimulakan pada 2012.


Beliau berkata, sepanjang tempoh itu, beberapa konsep dan prototaip telah dibangunkan dan diuji oleh MPOB dengan kerjasama pihak industri sawit.


"Ujian menunjukkan bahawa secara puratanya, jentera yang dicipta MPOB ini mampu memungut buah sawit relai antara 4.2 hingga 5.1 kilogram dalam masa seminit atau 1,200 hingga 1,500 kilogram sehari dengan kandungan sampah kurang dari 15 peratus. Ia turut tidak merosakkan buah.


"Teknologi ini menghasilkan kecekapan yang lebih tinggi dalam pemungutan buah sawit relai di ladang," katanya.

Beliau menjelaskan, buah sawit relai mengandungi kandungan minyak tertinggi daripada kebanyakan buah yang terdapat di tandan.


Justeru, beliau berkata, jentera ciptaan MPOB itu mampu memastikan agar semua buah relai dapat dikutip, meningkatkan pendapatan dan keuntungan ladang yang lebih tinggi kerana kadar pengekstrakan minyak yang lebih baik.


"Dengan teknologi itu, buah sawit relai kini dapat dihantar ke kilang dengan peratusan sampah yang rendah serta memastikan kualiti buah sawit yang lebih baik dan membantu mengurangkan masalah pengilangan yang berkaitan dengan kaedah pengumpulan semasa," katanya.

4 lihatan0 komen

Siaran Terkini

Lihat Semua
IMG_20221230_173627.jpg
bottom of page