top of page
  • Writer's pictureMohd Ezli Mashut

MetMalaysia Ramal Banjir Besar, Ini Langkah Siap-Sedia

Updated: 12 Sep 2022


Sumber Foto Hiasan: Unsplash


CUACA | SEDIA | Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan, negara bakal mengalami hujan lebat berterusan mulai pertengahan November 2022, yang membawa kepada banjir besar pada penghujung bulan berkenaan.

Cuaca yang dialami dijangka memberi impak lebih signifikan kerana Monsun Timur Laut yang aktif pada tempoh itu, di mana risiko berlaku hujan lebat berterusan dan banjir berskala besar adalah tinggi.


BH Online pada 2 September 2022 melaporkan Ketua Pengarah MetMalaysia berkata fenomena La Nina yang masih berterusan dan dijangka sehingga awal tahun depan, menyebabkan peningkatan taburan hujan.


Muhammad Helmi Abdulla, berkata, METMalaysia meramalkan, sepanjang Oktober risiko bencana cuaca hanya membabitkan fenomena hujan ribut petir yang berpotensi menghasilkan angin kencang, hujan lebat dan banjir kilat dalam tempoh yang singkat dan berskala kecil.


Katanya, kebanyakan tempat dijangka menerima taburan hujan yang normal sahaja dalam tempoh itu.


"Sekiranya Pilihan Raya Umum (PRU) dilaksanakan pada awal November, kemungkinan banjir besar berlaku adalah kurang. Bagaimanapun, mulai pertengahan November ada kemungkinan banjir besar berlaku terutamanya penghujung November.


"Namun begitu, jika pilihan raya dilaksanakan pada Disember, cuaca yang berlaku dijangka memberi impak yang lebih signifikan kerana angin Monsun Timur Laut adalah aktif pada tempoh itu, di mana risiko untuk berlaku hujan lebat berterusan dan banjir besar berskala besar adalah tinggi," katanya kepada BH.



Tangkap layar laporan BN Online berkenaan ramalan Met Malaysia menyatakan Malaysia bakal hadapi banjir pada November 2022.


Beliau berkata, kebiasaannya bermula akhir September hingga awal November negara akan mengalami fasa peralihan monsun.


"Dalam tempoh ini lazimnya cuaca di seluruh negara adalah baik pada waktu pagi. Manakala pada sebelah petang hingga awal malam, ribut petir akan lebih kerap berlaku terutama di negeri-negeri pantai barat serta pedalaman Semenanjung, Sarawak (barat dan tengah) dan barat Sabah.


"Risiko untuk berlaku banjir kilat adalah tinggi dalam tempoh ini terutama di kawasan rendah di pantai barat Semenanjung," katanya.


Muhammad Helmi berkata, Monsun Timur Laut pula kebiasaannya akan bermula pada pertengahan November


"Jadi dalam tempoh November hingga Disember, cuaca adalah lebih lembap terutama di negeri-negeri Pantai Timur Semenanjung, barat Sarawak dan timur Sabah.


"Lazimnya cuaca adalah hujan pada sebelah pagi di negeri-negeri Pantai Timur Semenanjung, barat Sarawak dan timur Sabah.


"Pada sebelah petang, ribut petir atau hujan akan berlaku di negeri-negeri pantai barat Semenanjung, pedalaman Sarawak dan barat Sabah," katanya.


Beliau berkata, namun begitu perkara yang perlu dibimbangkan ialah jika berlaku luruan monsun atau kemunculan sistem tekanan rendah, menyebabkan hujan berterusan akan berlaku di negeri-negeri berkenaan yang berpotensi menyebabkan banjir.


"Jika berlaku luruan monsun yang kuat dan serentak dengan kemunculan sistem tekanan rendah, maka risiko untuk berlaku banjir besar adalah tinggi. Luruan monsun yang signifikan biasanya akan bermula pada Disember," katanya.


Ditanya mengenai perubahan cuaca yang kerap hujan dan ribut petir ketika ini, Muhammad Helmi berkata, keadaan cuaca yang lebih lembap ketika ini adalah disebabkan Monsun Barat Daya yang lemah.



==================================================================================



Berikut adalah antara langkah yang disediakan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) sebagai persiapan menghadapi banjir, apa yang perlu dilakukan ketika banjir dan apakah tindakan yang perlu diambil selepas banjir berlaku di sekitar kawasan anda:

PERSEDIAAN SEBELUM BANJIR

Di rumah

-Dapatkan maklumat tentang banjir di tempat anda.


-Pastikan sistem amaran banjir dan dengar hebahan semasa yang disampaikan melalui radio,televisyen dan agensi-agensi kerajaan yang berkenaan serta Bilik Gerakan Banjir Negeri atau Daerah yang berhampiran.


-Periksa lubang air seperi longkang atau saluran najis. Bersihkan halangan dan pastikan ia tertutup rapat supaya air banjir tidak masuk melaluinya.


-Pastikan di mana Pusat Pemindahan dan Pusat Bantuan Bencana di tempat anda.

-Sediakan peralatan kecemasan dan bekalan makanan secukupnya.


-Pastikan seluruh keluarga anda mengetahui cara-cara bertindak semasa kecemasan di rumah.


Jika ingin melancong ke kawasan berpotensi banjir


-Bagi yang mempunyai bayi, bawa kelengkapan bayi supaya mudah diuruskan ketika banjir berlaku.


-Simpan nombor telefon klinik, hospital dan orang yang boleh dihubungi ketika kecemasan.


-Pesakit kronik perlu bawa bekalan ubatan mencukupi selain pemantauan jadual rawatan kerana dikhuatiri berdepan masalah ketika berada dalam keadaan banjir.


-Selalu dapatkan maklumat mengenai taburan hujan seperti akses kepada laman web Jabatan Meteorologi, -Portal Bencana atau Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia.





SEMASA BANJIR

-Ketika mendapat tanda-tanda awal banjir


-Dengar melalui pengumuman radio, televisyen atau pihak-pihak tertentu.


-Pindahkan perabut atau peralatan-peralatan lain ke tempat yang selamat.


-Letakkan dokumen penting di tempat yang selamat atau bawa bersama anda dalam bekas kalis air.


-Bersedia untuk menutup suis elektrik, injap utama bekalan air dan gas.


-Beritahu jiran anda dan bersedia untuk berpindah.


Semasa pemindahan


- Apabila menerima arahan, segeralah berpindah ke pusat-pusat pemindahan yang disediakan.Berpindah awal sebelum banjir meningkat atau pada waktu siang kerana ianya lebih mudah dan selamat.


- Ikut laluan yang ditentukan, laluan dekat mungkin terhalang.


Di dalam kenderaan

-Jangan terus mengharungi kawasan banjir, hendaklah berpatah balik ke tempat yang selamat.


-Jika kenderaan anda terhenti, kunci kenderaan serta tinggalkan kenderaan tersebut dan pergilah ke tempat yang selamat


Di dalam rumah

-Dengar pengumuman melalui radio, televisyen atau pihak tertentu.


-Bersedia dengan peralatan kecemasan.


-Jika diarahkan keluar dan berpindah, segera lakukan.


Di luar rumah

-Pergi ke tempat tinggi dan selamat.


-Elakkan dari melalui kawasan banjir, arus deras yang boleh menghanyutkan anda.


-Jangan sengaja bersiar-siar di kawasan banjir sama ada dengan sampan mahupun berjalan kaki.


-Jangan sentuh mana-mana kabel atau wayar yang jatuh.


-Awasi kanak-kanak, jangan biarkan mereka bermain-main di longkang, sungai atau lombong.


-Jangan minum air banjir.


SELEPAS BANJIR

-Dengar pengumuman melalui radio atau tunggu arahan pihak berkuasa, jangan kembali ke rumah sebelum dibenarkan atau sebelum keadaan benar-benar selamat.


-Beri bantuan kepada jiran anda atau orang kurang upaya (orang tua, kanak-kanak atau golongan istimewa).

-Periksa rumah anda, lihat tanda-tanda rekahan atau mendapan kerana ianya mengkin tidak selamat.


-Jangan terus memasuki rumah yang masih dibanjiri air, berhati-hati banyak bahaya yang tidak terduga dan tersembunyi.


Semasa memasuki bangunan

-Pakai kasut.


-Periksa kerosakkan dinding, lantai, pintu dan tingkap.


-Periksa sebarang kehadiran binatang atau serangga berbisa yang merbahaya. Gunakan kayu untuk mengalihkan sebarang halangan yang bertaburan di lantai rumah anda.


-Perhatikan siling dan plaster dinding yang mungkin rekah, lerai dan jatuh.


-Periksa ancaman bahaya


-Periksa paip saluran gas yang mungkin pecah atau bocor.


-Periksa wayar elektrik yang terendam di dalam air.


-Periksa peralatan elektrik yang tenggelam.


-Periksa bahan-bahan yang mudah terbakar yang mungkin mengalir masuk semasa banjir (Minyak tanah, petrol, diesel dan sebagainya).


-Buang bahan-bahan makanan yang terendam yang terkena banjir termasuklah makanan dalam tin.


-Periksa kerosakan tangki septik untuk mengelakkan bahaya biologi.


-Laporkan sebarang kerosakan kemudahan-kemudahan awam kepada pihak yang berkuasa.






29 lihatan0 komen
IMG_20221230_173627.jpg
bottom of page