top of page
  • Writer's pictureMohd Ezli Mashut

Nilai Kekayaan 50 Hartawan Terkaya Malaysia Melonjak


Foto: Forbes


Nilai kekayaan 50 hartawan yang berada dalam Senarai Kekayaan Malaysia Forbes 2021 meningkat 14 peratus kepada hampir AS$90 bilion (RM371 bilion) tahun ini, selepas susut selama dua tahun.


Forbes Asia berkata, lonjakan yang berlaku di tengah-tengah krisis pandemik itu sebahagiannya disumbangkan oleh kedudukan dominan Malaysia sebagai pengeluar sarung tangan perubatan kepada dunia.


"Sepanjang tahun pandemik ketika permintaan global untuk peralatan perlindungan diri meningkat ketara, eksport sarung tangan getah Malaysia naik sekali ganda, meningkatkan kekayaan pengeluar terbesar produk itu di Malaysia," katanya dalam satu kenyataan pada 3 Jun 2021.


Lima daripada mereka tersenarai dalam kalangan 50 hartawan paling kaya di negara ini.


Dua daripadanya berada dalam kedudukan 10 hartawan paling kaya Malaysia iaitu Pengerusi Hartalega Holdings Bhd, Kuan Kam Hon di kedudukan ketujuh dengan nilai kekayaan AS$3.8 bilion (RM15.6 bilion) dan Pengasas Top Glove Corporation Bhd, Tan Sri Lim Wee Chai di tangga kelapan dengan kekayaan bernilai AS$3.5 bilion (RM14.4 bilion).


Majalah perniagaan itu berkata, pandemik yang menjejaskan ekonomi Malaysia sehingga menguncup 5.6 peratus pada 2020, dijangka kembali pulih tahun ini.


"Namun, negara ini sedang bergelut dengan peningkatan kes COVID-19.


"Biarpun penanda aras indeks saham meningkat sederhana 2.5 peratus sejak nilai kekayaan ini diukur kali terakhir 15 bulan lalu, 50 individu terkaya negara menyaksikan gabungan kekayaan mereka meningkat kepada hampir AS$90 bilion (RM371 bilion), naik daripada AS$79 bilion (RM325.7 bilion) setahun lalu," katanya.


Robert Kuok yang bergiat aktif dalam perniagaan utama dalam komoditi dan hartanah, terus unggul sebagai individu terkaya di Malaysia dengan memiliki kekayaan bernilai AS$12.2 bilion (RM50.3 bilion).


Beliau turut menjadi hartawan paling tua dalam senarai itu pada usianya 97 tahun.


Di kedudukan kedua ialah Tan Sri Quek Leng Chan, generasi kedua yang menerajui kumpulan Hong Leong dengan nilai kekayaan AS$9.6 bilion (RM39.6 bilion).

2 lihatan0 komen

Siaran Terkini

Lihat Semua
IMG_20221230_173627.jpg
bottom of page