top of page
  • Writer's pictureMohd Ezli Mashut

Objek misteri terdampar di Australia mungkin serpihan angkasa bukan MH370

GLOBAL | PERTH, AUSTRALIA – Sebuah objek misteri yang ditemui terdampar di pantai barat Australia dan menimbulkan pelbagai spekulasi mengenai asal usulnya berkemungkinan merupakan serpihan objek angkasa.

Stesen penyiaran CNN dalam laporannya pada 18 Julai 2023 menyatakan sejak muncul di pantai Green Head yang terletak kira-kira 250 kilometer di utara Perth, silinder tembaga itu telah menarik perhatian penduduk tempatan yang mahu melihat kelibat objek tidak dikenali tersebut.


Pasukan Polis Australia Barat dalam satu kenyataan pada 17 Julai 2023 berkata, objek berkenaan dipercayai serpihan objek angkasa sekali gus menguatkan komen-komen daripada agensi angkasa lepas negara itu yang memberikan hipotesis tersebut.


“Objek itu mungkin dari kenderaan pelancar angkasa dan kami sedang berhubung dengan rakan sejawat global yang mungkin dapat memberikan lebih banyak maklumat,” kata Agensi Angkasa Australia.


Meskipun pada awalnya mengeluarkan amaran kepada orang ramai agar tidak mendekati objek itu, polis dalam kemas kini baharu berkata, objek tersebut adalah selamat.


“Analisis oleh Jabatan Bomba dan Perkhidmatan Kecemasan serta Pusat Kimia Australia Barat mendapati objek itu selamat dan tidak menimbulkan risiko semasa kepada masyarakat,” kata polis.


Pihak berkuasa itu menambah, ia kini sedang berbincang dengan agensi-agensi berkaitan untuk mengalihkan objek berkenaan dengan selamat dan dalam masa sama, menyimpulkan penemuan tersebut.


Silinder besar yang lebih tinggi daripada manusia itu kelihatan rosak pada satu bahagian hujung dan dilitupi dengan teritip, menunjukkan ia telah lama berada di lautan sebelum hanyut ke pantai.


Pelbagai teori menyelubungi penemuan tersebut dengan ada yang turut mengaitkannya dengan serpihan pesawat MH370, namun dakwaan itu ditepis oleh polis.
5 lihatan0 komen
IMG_20221230_173627.jpg
bottom of page