top of page
  • Writer's pictureMohd Ezli Mashut

Pandemik Covid-19 Revolusi Perniagaan Ke Arah Pendigitalan



Foto Sumber: Pexels.com


PENDIGITALAN: Pandemik Covid-19 merubah landskap perniagaan tempatan dan antarabangsa apabila penggunaan dan permintaan barangan melalui digital semakin meningkat.


Kaji selidik terbaharu Juwai IQI mengenai COVID-19 mendapati 57 peratus daripada rakyat Malaysia lebih banyak membeli belah dalam talian berbanding sebelum pandemik yang sekali gus membantu melonjakkan urus niaga dalam talian di negara ini.


BERNAMA dalam laporan pada 7 Jun 2021 menyatakan Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Juwai IQI Group Kashif Ansari dalam kenyataan berkata, Lazada Malaysia mencatatkan kenaikan 300 peratus bilangan penjual baharu dalam talian.

"Bank Negara Malaysia (BNM) berkata jualan runcit dalam talian meningkat hampir berganda semasa pandemik dan data kami menunjukkan lebih ramai pengguna berbelanja dalam talian berbanding setahun lalu," katanya.


Kashif berkata, pertambahan aktiviti membeli belah dalam talian itu selari dengan perkembangan pesat bahagian-bahagian ekonomi lain yang membawa kepada peningkatan pembayaran tanpa tunai, penggunaan aplikasi super dan penembusan internet mudah alih.


"Peruncit dan pengeluar meningkatkan kehadiran mereka dalam talian agar mereka boleh menjual kepada pengguna yang banyak membeli menerusi telefon mudah alih mereka berbanding membeli secara bersemuka.


"Ia turut berlaku dalam sektor hartanah, yang biasanya dianggap sebagai industri yang paling jarang berurus niaga dalam talian. Pembeli kini boleh melakukan hampir keseluruhan urus niaga tanpa perlu keluar dari rumah mereka," katanya.


Menurutnya, kaji selidik itu juga mendapati 68 peratus rakyat Malaysia mahu kembali bekerja di pejabat atau di tempat kerja lain sekurang-kurangnya dua hari seminggu pasca pandemik.

Kashif berkata, meskipun kesukaran yang dihadapi ketika ini, 71 peratus rakyat Malaysia percaya kehidupan di negara ini akan kembali normal menjelang akhir 2022.


"Namun, bukan semua orang optimis. Sejumlah 17 peratus responden menjangka kita hanya akan dapat kembali kepada kehidupan normal pada 2023 manakala sebilangan kecil menjangkakan ia melangkaui 2023," katanya.


Jadi waktu ini adalah masa terbaik untuk menukar strategi perniagaan ke arah lebih menggunakan platform digital kerana ia boleh meningkatkan prestasi jualan dan keuntungan.



0 lihatan0 komen
IMG_20221230_173627.jpg
bottom of page