top of page
  • Writer's pictureMohd Ezli Mashut

Paras laut Singapura berisiko meningkat 1.37 meter menjelang 2150




GLOBAL | SINGAPURA: Aras laut di Singapura dijangka meningkat sebanyak 1.37 meter (m) menjelang 2150 sekiranya pelepasan sejumlah besar gas rumah hijau menyebabkan pemanasan global melebihi empat darjah Celsius menjelang akhir abad ini.

Jangkaan itu adalah hasil kajian oleh Balai Cerap Bumi Singapura di Universiti Teknologi Nanyang, bertujuan melanjutkan unjuran peningkatan aras laut selepas 2100, dengan mengambil kira trajektori pelepasan gas karbon dioksida global mengikut data semasa.


Sekiranya pelepasan karbon dioksida kekal pada tahap semasa sehingga akhir abad ini, aras laut dijangka meningkat sebanyak 0.95m menjelang 2150.


Perkhidmatan Meteorologi Singapura (MSS) menyifatkan hasil kajian itu penting untuk merangka langkah penyesuaian serta mengurangkan kesan akibatnya.


Ini berikutan saintis dan penggubal dasar mendapat pemahaman yang lebih terperinci mengenai kesan jangka panjang perubahan iklim dan peningkatan aras laut kepada Singapura.


Agensi Alam Sekitar Nasional dan agensi air nasional Singapura memaklumkan 30 peratus kawasan darat di negara itu adalah kurang lima meter di atas purata aras laut, bererti wilayah pesisir yang rendah dan kawasan ditambak berisiko berdepan banjir lebih kerap.



"Sebahagian besar kawasan daratan di Singapura, termasuk kawasan yang padat penduduk dan memiliki infrastruktur kritikal, boleh terdedah pada banjir yang kerap dan teruk jika kadar dan kesan peningkatan aras laut semakin pantas," katanya, lapor AGENSI.


Setakat ini, suhu dunia mencatat peningkatan hampir 1.2 darjah Celsius, dan pemanasan global perlu dikekalkan di bawah 1.5 darjah Celsius bagi mengelak kesan perubahan iklim yang lebih dahsyat.


Pemanasan global menyebabkan suhu laut meningkat, sekali gus air mengembang apabila semakin panas dan menyebabkan peningkatan aras laut.


Pada masa sama, pemanasan global turut mempercepatkan kecairan bongkah ais di Greenland dan Antartika, menyebabkan lebih banyak air mengalir ke kawasan khatulistiwa dan memberi kesan pada negara terletak di tanah rendah seperti Singapura.


Kajian yang diketuai felo penyelidik kanan Balai Cerap Bumi Singapura, Timothy Shaw, mendapati perubahan unjuran aras laut akan berlaku secara lebih pantas berbanding sebelum ini.


Berdasarkan senario di mana pelepasan gas rumah hijau yang tinggi berlaku, unjuran kadar peningkatan aras laut menjelang 2150 akan menjadi lebih pantas berbanding mana-mana waktu dalam tempoh 21,500 tahun sebelum ini.


Sumber - AGENSI/ 23 Julai 2023

9 lihatan0 komen
IMG_20221230_173627.jpg
bottom of page