top of page
  • Writer's pictureMohd Ezli Mashut

PBB Beri Amaran Bangkok, London, Shanghai Risiko Mungkin 'Lenyap'


Sumber Foto Hiasan : Unsplash


GLOBAL | GENEVA: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran beberapa bandar utama dunia seperti Bangkok mungkin tenggelam susulan kebimbangan bahawa paras laut negara di serata dunia akan naik disebabkan peningkatan paras laut.

Agensi Berita AP pada 17 Februari 2023 melaporkan Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres Guterres, berkata ratusan juta penduduk yang tinggal di kawasan tepi pantai, tanah rendah dan negara pulau kecil diramal terjejas, berdasarkan data baharu menunjukkan peningkatan paras laut semakin ketara sejak 1900.


Negara seperti Thailand, Bangladesh dan Belanda berisiko kehilangan daratan yang luas dengan bandar besar seperti Bangkok, London dan Shanghai dijangka lenyap sepenuhnya.


Bangkok akan lenyap, bukan hanya kerana paras laut meningkat tetapi seperti Shanghai, ibu kota Thailand itu dibebani berat terlalu banyak bangunan yang menyebabkan tanah mendap kerana bandar raya itu dibina di kawasan tanah paya.


Senario itu dibentangkan pada perbahasan pertama Majlis Keselamatan PBB (UNSC) mengenai kenaikan paras air laut dunia.


"Ancaman semakin meruncing terhadap 900 juta orang yang tinggal di kawasan pesisir pantai dan zon rendah, di mana jumlah mereka menyamai nisbah satu dalam setiap 10 penduduk dunia," kata Guterres.



Mesyuarat UNSC itu menyaksikan wakil dari 75 negara berucap dengan kesemua mereka menyuarakan kebimbangan mengenai kesan buruk peningkatan paras air laut.


Perubahan iklim mengakibatkan Bumi lebih panas dan glasier mencair dengan pantas, kata Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA).


Menurutnya, purata 150 bilion tan ais di Benua Antartika cair pada setiap tahun manakala bongkah ais di Greenland juga mengecil lebih cepat dan kehilangan 270 bilion tan ais setahun.


"Lautan di seluruh dunia menjadi panas lebih cepat pada abad lalu berbanding sepanjang 11,000 tahun lalu.


"Bumi sedang melepasi takat had pemanasan 1.5 darjah Celsius yang diperlukan untuk ia sesuai didiami manusia pada masa depan dan menurut dasar global semasa, suhu meningkat ke arah 2.8 darjah, yang umpama hukuman mati terhadap negara yang terdedah," katanya.

Negara membangun khususnya, mesti mempunyai sumber untuk menyesuaikan diri dengan dunia yang pesat berubah dan ini bermakna, komitmen iklim AS$100 bilion (RM433.2 bilion) kepada negara membangun perlu disampaikan.


Dengan peningkatan paras laut berisiko menimbulkan konflik terhadap persaingan sumber air tawar dan tanah yang semakin sengit, Guterres berkata, krisis iklim perlu ditangani menerusi puncanya iaitu mengurangkan pelepasan gas rumah hijau.

14 lihatan0 komen
IMG_20221230_173627.jpg
bottom of page