top of page
  • Writer's pictureMohd Ezli Mashut

PBB: La Nina Hingga Akhir 2022, 'Triple Dip' Fenomena Cuaca Misteri


Gambar Hiasan: Sumber Foto: Unsplash


GLOBAL | GENEVA: Agensi cuaca Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) meramalkan fenomena La Nina dijangka berlarutan hingga akhir tahun 2022.

Agensi Berita Antarabangsa AP pada 31 Ogos 2022 melaporkan fenomena cuaca sama selama tiga tahun berturut-turut atau 'triple dip' itu, yang pertama kali berlaku pada abad ini, masih menjadi misteri.


Ia diberi nama 'triple dip' berdasarkan kesannya selama tiga tahun berturut-turut terhadap perubahan cuaca seperti kemarau dan banjir di seluruh dunia.


Pertubuhan Meteorologi Sedunia (WMO) hari ini berkata keadaan La Nina, iaitu penyejukan suhu permukaan lautan secara besar-besaran, sudah bertambah kukuh di timur dan tengah khatulistiwa Pasifik dengan peningkatan pertukaran angin sejak beberapa minggu kebelakangan ini.


Setiausaha Agung WMO, Petteri Taalas, yang juga pegawai tertinggi agensi itu, turut memberi amaran bahawa 'triple dip' tidak bermaksud pemanasan global semakin reda.


"Adalah luar biasa untuk berlaku fenomena La Nina tiga tahun berturut-turut, pengaruh penyejukannya memperlahankan kenaikan suhu global buat sementara waktu, tetapi tidak akan menghentikan atau mengalihkan arah aliran pemanasan jangka panjang," katanya.


La Nina ialah penyejukan semula jadi dan kitaran bahagian Pasifik khatulistiwa yang mengubah corak cuaca di seluruh dunia, berbanding dengan pemanasan disebabkan oleh El Nino, yang lebih dikenali sebagai fenomena bertentangan.


La Nina sering membawa kepada lebih banyak taufan Atlantik, kurang hujan dan lebih banyak kebakaran hutan di barat Amerika Syarikat (AS) selain kerugian pertanian di tengah AS.


Kajian menunjukkan La Nina lebih merosakkan di AS berbanding El Nino.


Saintis berkata, El Nino, La Nina dan keadaan neutral dipanggil ENSO, singkatan kepada 'El Nino Southern Oscillation', mengakibatkan antara kesan semula jadi terbesar pada iklim.


Kadang-kala ia menambah atau mengurangkan kesan perubahan iklim yang disebabkan manusia, berpunca daripada pembakaran arang batu, minyak dan gas.

9 lihatan0 komen
IMG_20221230_173627.jpg
bottom of page