top of page
  • Writer's pictureMohd Ezli Mashut

Pemanasan Global Tingkat Konflik Beruang Kutub-Manusia


Sumber Foto : NOAA


KEMATIAN menyayat hati seorang ibu muda, Summer Myomick, 24 dan anak kecil berusia setahun, Clyde Ongtowasruk, yang diserang beruang kutub ketika melintas di hadapan Sekolah Kingikmiut di Wales, Alaska, pada 17 Januari lalu mengejutkan pelbagai pihak.

Kenapa mereka diserang menjadi persoalan kerana beruang kutub secara umumnya menjauhi penempatan manusia dan lebih cenderung mengelakkan pertembungan.


Malah, berdasarkan laporan, ia adalah serangan pertama mengakibatkan maut direkodkan sejak 30 tahun lalu di Alaska, satu-satunya negeri di Amerika Syarikat (AS) yang menjadi habitat kepada haiwan pemburu yang gagah lagi ganas itu.


Sebelum ini, serangan beruang kutub memang amat jarang dilaporkan antara 1870 dan 2014, di mana terdapat hanya 73 serangan yang direkodkan dilakukan oleh beruang kutub liar di seluruh Kanada, Greenland, Norway, Russia dan AS.


Menurut kajian pada 2017, daripada jumlah serangan itu, 20 kematian manusia dilaporkan, bagaimanapun serangan baru-baru ini menjadi tanda tanya adakah kesan pemanasan global menjadi punca beruang kutub memasuki habitat manusia .


Beruang kutub ialah haiwan karnivor darat terbesar di planet ini tetapi menghabiskan sebahagian besar hidup mereka di sekitar air dan ais.



Justeru, tidak mustahil pemanasan global yang berlaku hingga mencairkan ais di Laut Artik boleh memberi kesan kepada habitat mereka.


Kehilangan ais meningkat

Kehilangan ais global dilaporkan semakin meningkat sejak dua dekad yang lalu dan bumi kini kehilangan 1.2 trilion tan ais setiap tahun, yang dijangka bertambah buruk dalam tahun mendatang.


Daripada lapisan ais nipis yang meliputi sebahagian besar Lautan Artik hinggalah lapisan ais setebal sebatu di puncak kutub, kehilangan ais dilihat meningkat daripada kira-kira 760 bilion tan setahun pada 1990-an kepada lebih daripada 1.2 trilion tan setahun pada 2010-an, dalam satu kajian baru.


Bagaimanapun, beruang kutub, yang tinggal di habitat ini masih tidak diklasifikasikan sebagai terancam pada masa ini, tetapi tidak bermakna jumlah mereka tidak berisiko.


Ini kerana terdapat kira-kira 22,000 beruang kutub yang tinggal secara liar, tetapi perubahan iklim buatan manusia dan pemanasan global menjadikan kehidupan pemangsa ini semakin sukar.


Setakat ini, tiada serangan individu dikaitkan dengan perubahan iklim dan Perkhidmatan Ikan dan Hidupan Liar AS mengatakan ia masih menyiasat punca serangan terbaru di Alaska.


Namun, peningkatan suhu hingga mencairkan ais laut tempat di mana beruang kutub ini mencari pasangan, membesarkan anaknya dan memburu anjing laut untuk mengekalkan diet tinggi lemak mereka, menyebabkan bilangan beruang kutub berisiko merosot.


Saintis berkata, perubahan iklim memaksa karnivor Artik ini menghabiskan lebih banyak masa di pedalaman, sekali gus meningkatkan risiko bahaya kepada manusia terutama apabila beruang yang kelaparan mencari makan dekat penempatan manusia.


Menurut Pengarah Kanan Pemuliharaan di Kumpulan Alam Sekitar Beruang Kutub Antarabangsa, Geoff York, sebelum serangan minggu lalu itu, serangan maut terakhir di Alaska adalah pada 1990.


"Haiwan ini menyerang kerana kelaparan, ditambah keadaan badan yang tidak stabil, ia lebih cenderung untuk mengambil risiko melakukan perkara yang tidak biasa dilakukan oleh beruang yang sihat dan inilah yang menjadi kebimbangan orang ramai.


"Jadi, ais yang semakin mencair menjadi satu ancaman utama kepada beruang kutub yang disenaraikan sebagai terancam di bawah Akta Spesies Terancam.


"Interaksi antara beruang kutub dan manusia turut dijangka meningkat apabila beruang kutub menghabiskan lebih banyak masa di pantai," katanya.


Cuba kurangkan risiko pertembungan

Penyelidik juga melaporkan akan berlaku peningkatan kehadiran beruang kutub di darat dan di kawasan pantai dari Alaska ke Baffin Bay berhampiran Greenland hingga ke Svalbard, kepulauan Norway di Lautan Artik utara tanah besar Eropah.


Sesetengah komuniti yang tinggal berdekatan dengan haiwan pemangsa ini, seeloknya cuba mengurangkan risiko pertembungan beruang termasuk dengan melakukan rondaan beruang kutub seperti di Russia dan Kanada.


Jon Aars, yang mengetuai program beruang kutub Institut Kutub Norway sejak 2003, berkata Svalbard mempunyai peraturan yang ketat untuk tingkah laku individu apabila berada di luar selain mengajar sistem amaran yang memerlukan mereka membawa senjata jika berada di lapangan.


"Keadaan dan kelaparan kumpulan beruang kutub ini berbeza-beza, di mana beruang di Svalbard masih dalam keadaan agak baik.


"Walaupun lebih berbahaya untuk bertemu dengan beruang yang lebih lapar atau muda, mereka juga boleh menyerang walaupun cukup makan.


"Beruang ini juga boleh bertindak di luar jangkaan dengan mencari alternatif apabila tiada ais, namun saya fikir beruang ini tidak akan bertahan hidup di kawasan yang sama sekalipun tidak mempunyai ais di laut," katanya.


Sumber : AGENSI

2 lihatan0 komen
IMG_20221230_173627.jpg
bottom of page