top of page
  • Writer's pictureMohd Ezli Mashut

Pengguna 5G dijangka cecah lima bilion pada 2030, sumbang KDNK AS$6 trilion




DIGITAL | KOMUNIKASI | SHANGHAI: Pengguna 5G global dijangka mencecah lima bilion pada 2030 berbanding dengan 1.5 bilion yang dijangkakan pada 2023, menurut Huawei Technologies Co Ltd.

Ketua Pegawai Kewangan dan Pengerusi Bergilir Huawei berkata 5G digunakan secara komersial di seluruh dunia selama empat tahun dan ia memacu penciptaan nilai baharu merentas semua industri dan banyak isi rumah di seluruh dunia.


"Sumbangan industri mudah alih kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global diunjurkan mencecah AS$6 trilion pada 2030.


"Oleh yang demikian, ia (5G) sedang mengubah cara kita bekerja dan menjalani kehidipan, mewujudkan nilai ekonomi, perindustrian dan sosial yang amat besar," kata Sabrina Meng Wanzhou dengan menambah 5.5G pula adalah langkah ke hadapan seterusnya.


Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucaptama bertajuk 'Embracing 5G Transformation' pada pembukaan Kongres Dunia Mudah Alih (MWC) Shanghai 2023 pada 26 Jun 2023.


Mengulas mengenai 5.5G sebagai horizon akan datang, Meng yang juga anak kepada pengasas syarikat Ren Zhengfei, berkata teknologi baharu itu akan menampilkan kelajuan paut turun 10 gigabit, kelajuan paut naik gigabit, keupayaan untuk menyokong 100 bilion sambungan dan kecerdasan buatan natif.



"Ia bukan sahaja akan menghubungkan orang ramai secara lebih baik malah juga akan mewujudkan peluang perniagaan baharu dengan sokongan lebih bersasar bagi keperluan industri dalam domain seperti Internet Pelbagai Benda (IoT), pengesanan dan pembuatan lanjutan," katanya.


Meng berkata, usaha mencari teknologi yang tepat bagi senario berbeza dan melaksanakan kejuruteraan sistem yang lebih komprehensif adalah diperlukan untuk membawa 5G semasa ke tahap seterusnya dan memastikan ia memberikan nilai lebih besar dalam pelbagai pasaran khusus.


"Perlu menyelam lebih jauh ke dalam senario perindustrian, benar-benar memahami masalah spesifik yang dihadapi pelanggan dan mengamalkan pemikiran kejuruteraan sistem yang lebih holistik," katanya.


Beliau juga menggesa pihak industri untuk bekerjasama lebih erat dalam rantaian nilai peringkat bawah dan atas, dengan pihak setara dan rakan kongsi, pelanggan dan pembangun mengenai pemodelan dan pengoptimuman penyelesaian, serta alatan dan metodologi.


"Industri perlu mengorak laluan untuk kejayaan berterusan di sepanjang kitaran hayat produk, daripada penyelidikan dan pembangunan serta pemerolehan sehingga peringkat pembekalan dan pemasaran," katanya.


MWC Shanghai 2023 berlangsung dari 28 hingga 30 Jun 2023 dengan Huawei akan mengetengahkan produk dan penyelesaiannya di ruang E10 dan E50 di dalam Dewan N1, Pusat Ekspo Antarabangsa Baharu Shanghai.


Kongres yang menghimpunkan pengendali global, profesional industri serta pakar industri dan pasaran yang berpengaruh itu akan menampilkan topik seperti mempercepat kemakmuran 5G, melangkah ke era 5.5G dan transformasi digital pintar.



4 lihatan0 komen
IMG_20221230_173627.jpg
bottom of page