top of page
  • Writer's pictureMohd Ezli Mashut

Pengguna Terima Pampasan RM2.607 Bilion Disebabkan Air Tercemar


Foto Sumber: www.scientificamerican.com


GLOBAL | Mahkamah Persekutuan Amerika Syarikat (AS) mengarahkan Michigan membayar pampasan AS$626 juta (RM2.607 bilion) kerana pencemaran bekalan air.

Agensi Berita Antarabangsa AFP pada 10 November 2021 melaporkan jumlah itu adalah sebagai kos penyelesaian kes kepada penduduk bandar Flint, yang sumber air minuman mereka dicemari plumbum.


Pembayaran kos penyelesaian awam terbesar dalam sejarah Michigan itu bakal disalurkan kepada kanak-kanak yang terkesan akibat krisis air di bekas kawasan industri Flint berkenaan.

Bagaimanapun, golongan dewasa yang berupaya mengemukakan bukti bahawa mereka turut terjejas dan mengalami masalah kesihatan berikutan keracunan plumbum juga boleh membuat tuntutan.


"Penyelesaian yang diputuskan ini adalah pencapaian luar biasa atas pelbagai sebab, malah ia perlu disusuli dengan program pampasan secara menyeluruh.


"Garis masa yang konsisten perlu ditentukan untuk setiap penerima yang layak," kata Hakim Daerah AS, Judith Levy, dalam penghakimannya.


Perjanjian itu pada asalnya dicapai pada Ogos 2020, selepas 18 bulan rundingan dijalankan.


Sebahagian besar pembayaran akan disalurkan Michigan, walaupun ada sebilangan kecil dijelaskan bandar Flint dan sebuah syarikat kejuruteraan.


Tragedi di Flint, sehingga menjadi simbol ketidakadilan sosial di AS, tercetus apabila seorang gabenor Republikan di Michigan ketika itu, memutuskan untuk menukar sumber bekalan air minuman dari Tasik Huron kepada Sungai Flint bagi menjimatkan kos.
Air dicemari dan berasid dari sungai berkenaan kemudian menghakis sistem paip, sehingga menyebabkan penduduk terdedah kepada pencemaran plumbum termasuk sekitar 18,000 hingga 20,000 kanak-kanak yang mendiami Flint ketika itu.

Pencemaran plumbum dialami ribuan kanak-kanak di bandar terbabit dikatakan mengundang kesan kesihatan yang teruk dan berisiko berlarutan sehingga beberapa dekad.


Sekurang-kurangnya 12 orang meninggal dunia berikutan penyakit Legionnaires, iaitu jangkitan yang berpunca daripada pencemaran air.

Ramai penduduk di bandar terbabit sehingga kini hanya meminum air yang dibotolkan meskipun sistem bekalan air kembali ditukar dan diambil dari tasik manakala sistem paip diganti.


Kebanyakan orang beranggapan bahawa skandal air di Flint dilihat menjadi simbol perkauman alam sekitar negara, iaitu terma yang merujuk kepada ketidakseimbangan pendedahan kepada pencemaran air, tanah dan udara dalam kalangan warga AS berketurunan Afrika.


Sekitar 57 peratus daripada 100,000 penduduk Flint adalah warga kulit hitam dan lebih satu pertiga hidup di bawah garis kemiskinan.


Bacaan Lanjut:

1. Flint's Lead-Tainted Water May Not Cause Permanent Brain Damage


2. Flint Lead Exposure Registry



23 lihatan0 komen
IMG_20221230_173627.jpg
bottom of page