top of page
  • Writer's pictureMohd Ezli Mashut

Perubahan Iklim : Satu Bilion Kanak-Kanak Terkesan, 820 Juta Terdedah Gelombang Haba


Sumber Foto : Unsplash


DUNIA | Kira-kira satu bilion kanak-kanak kini 'berisiko sangat tinggi' akibat perubahan iklim dan terbantutnya taraf hidup belia pada dekad yang lalu, menurut indeks yang dikeluarkan KidsRights.

Kumpulan hak asasi manusia itu berkata, berdasarkan angka agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), lebih satu pertiga daripada kanak-kanak dunia, iaitu kira-kira 820 juta orang kini terdedah kepada gelombang haba, lapor AFP pada 19 Oktober 2022.


Badan bukan kerajaan dari Belanda itu juga berkata, kekurangan air turut menjejaskan sebanyak 920 juta kanak-kanak di seluruh dunia, manakala penyakit seperti malaria dan denggi menjejaskan kira-kira 600 juta kanak-kanak.


Indeks KidsRights yang menjadi satu-satunya analisis yang menilai hak kanak-kanak pada setiap tahun, meletakkan Iceland, Sweden dan Finland sebagai negara terbaik yang memperjuangkan hak kanak-kanak manakala Sierra Leone, Afghanistan dan Chad terburuk daripada 185 negara.


Dalam tiga negara teratas, hanya kedudukan Sweden yang berubah dari tahun sebelumnya, bergerak ke tempat kedua dari tempat keempat.


Marc Dullaert, pengasas dan pengerusi KidsRights, menyifatkan laporan tahun ini sebagai 'membimbangkan bagi generasi kanak-kanak semasa dan akan datang'.


"Iklim yang berubah dengan pantas kini mengancam masa depan mereka dan hak asasi mereka.


"Tiada kemajuan ketara dalam taraf kehidupan kanak-kanak sepanjang dekad yang lalu dan selain itu, mata pencarian mereka terjejas teruk akibat pandemik COVID-19," katanya.


Indeks KidsRights juga menunjukkan, pandemik COVID-19 memberi kesan buruk terhadap kanak-kanak, kerana ada yang tidak mendapat makanan atau ubat akibat gangguan dan penutupan klinik, sehingga mengakibatkan kira-kira 286,000 kanak-kanak bawah umur lima tahun meninggal dunia.


Indeks KidsRights yang disusun bersama Universiti Erasmus Rotterdam turut menyatakan, buat pertama kali dalam dua dekad, bilangan buruh kanak-kanak meningkat kepada 160 juta, mewakili peningkatan sebanyak 8.4 juta dalam tempoh empat tahun lalu.

KidsRights menyatakan, dua negara iaitu Angola dan Bangladesh dikesan meningkatkan markah mereka dengan ketara dalam isu hak kanak-kanak.


Angola mengurangkan lebih separuh kematian kanak-kanak bawah lima tahun, manakala Bangladesh pula mengurangkan jumlah kanak-kanak kurang berat badan di bawah lima tahun kepada hampir separuh.


Bagaimanapun laporan itu menyelar Montenegro, disebabkan kadar vaksinasi yang rendah, dengan menduduki tempat ke-49 dalam indeks berkenaan


Tinjauan itu menggunakan data PBB untuk mengukur bagaimana negara-negara memenuhi Konvensyen PBB mengenai Hak Kanak-kanak.

8 lihatan0 komen
IMG_20221230_173627.jpg
bottom of page