top of page
  • Writer's pictureMohd Ezli Mashut

Polisi Insurans Dijangka Naik Sebab Caj Perubatan Meningkat - Kajian


Sumber Foto : Unsplash


INSURANS | Nilai tuntutan perubatan bagi insurans dan takaful hayat dijangka meningkat pada 2023 berikutan kenaikan caj hospital serta perubatan.

Penganalisis AmInvestment Bank, Kelvin Ong dalam nota penyelidikan pada 6 Januari 2023 berkata keadaan tidak menolak kemungkinan syarikat insurans/takaful menaikkan premium/sumbangan polisi sedia ada, berkuat kuasa dan baharu bagi mencerminkan keadaan tuntutan sejak kebelakangan ini.


Beliau menjelaskan perkembangan itu berbeza dengan segmen insurans am yang harganya dijangka kekal kompetitif pada tahun 2023.


Katanya, ini berikutan pada 1 Oktober 2022, harga produk bagi segmen kebakaran dan motor terus diliberalisasi di bawah Fasa 2A.


"Di bawah fasa 2A, tarif bagi produk kebakaran dikurangkan sebanyak 15 peratus. Begitu juga, harga bagi produk kebakaran tanpa tarif dipinda sehingga kurang 30 peratus daripada tarif baharu. Ia menarik keluar keupayaannya untuk mengenakan caj premium sehingga 30 peratus daripada tarif kebakaran," katanya.


Sementara itu, Ong berkata fleksibiliti harga bagi segmen motor sudah dinaikkan kira-kira 15 peratus, lebih tinggi berbanding 10 peratus daripada tarif di bawah Fasa 2.

Katanya, bermula dari 1 Julai 2023, Fasa 2B akan bermula, yang bakal menyaksikan fleksibiliti harga lebih besar bagi produk insurans motor.


"Kami menjangkakan liberalisasi secara berperingkat ini akan memberi tekanan kepada harga insurans motor dan kebakaran.


"Dengan pembukaan semula ekonomi dan trafik atas jalan lebih tinggi, kami melihat tuntutan bagi insurans motor sudah pun normal sepenuhnya, justeru kami tidak menjangkakan tuntutan lebih tinggi bagi perniagaan insurans/takaful am pada 2023," katanya.


Ong berkata, segmen insurans/takaful am dijangka mencatatkan pertumbuhan sederhana antara pertengahan satu angka atau dua angka yang rendah bagi premium/sumbangan kasar pada tahun ini.


"Sebaliknya, premium/sumbangan kasar bagi insurans/takaful hayat dan keluarga dijangka menguncup berbanding 2022. Ini disebabkan oleh pelaksanaan FRS 17 pada 1 Januari 2023 yang akan menyaksikan hanya premium/sumbangan kasar dikira sebagai pendapatan," katanya.


Sekatat akhir sembilan bulan pertama 2022, insurans am merekodkan pertumbuhan premium kasar 10.8 peratus berbanding tahun sebelumnya, manakala sumbangan kasar industri takaful am berkembang sebanyak 20.6 peratus.

Premium baharu tahunan (ANP) bagi industri insurans hayat pula jatuh sebanyak 5.6 peratus berbanding setahun sebelumnya.

10 lihatan0 komen
IMG_20221230_173627.jpg
bottom of page