top of page
  • Writer's pictureMohd Ezli Mashut

Raya Airways Tambah Pesawat Kargo Boeing 767-200, Kembangkan Pasaran


Sumber Foto : Facebook Raya Airways


PENERBANGAN | Raya Airways Sdn Bhd mengukuhkan lagi operasi penyelesaian logistik dengan menambah pesawat kargo Boeing 767-200 yang mampu menawarkan lebih daripada 40 tan kargo kapasiti muatan tambahan bagi setiap penerbangan.


Pengarah Urusan Kumpulan Raya Airways berkata pesawat baharu itu membolehkan Raya Airways mengembangkan portfolio pelanggan, jejak rangkaian dan kapasiti kargonya.


Mohamad Najib Ishak dalam kenyataan media pada 27 Disember 2022 berkata, pesawat itu diterima daripada syarikat pemajak yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), Air Transport Services Group Inc (ATSG), sebuah penyedia pemajakan pesawat dan pengangkutan kargo udara.


"Unjuran pasaran global Boeing terkini menyatakan pesawat kargo dunia akan memerlukan 2,800 pengeluaran tambahan baharu dan pertukaran pesawat kargo bagi mengimbangi pertumbuhan yang dijangka dan untuk program penggantian pesawat sehingga 2041.


"Syarikat kargo udara di Asia akan menerajui permintaan untuk lif kargo udara khusus ini, kerana ia diramalkan meningkat lebih daripada empat peratus setiap tahun dalam tempoh 20 tahun akan datang," katanya.


Mohamad Najib berkata, penyelidikan Boeing meramalkan bahawa penghantaran pesawat kargo di rantau Asia akan meningkat sebanyak 38 peratus dalam tempoh terbabit.


Beliau berkata, ini termasuk pesawat yang baru dihantar dari kilang atau dihantar selepas penukaran daripada pesawat penumpang kepada pesawat pengangkut.


Katanya, Raya Airways kini meliputi hab serantau seperti China termasuk Hong Kong, Indonesia, Singapura dan Vietnam serta pusat komersial utama di Malaysia Timur.


"Dengan penambahan pesawat, prospek pembukaan laluan dan pelanggan baharu akan dipertingkatkan lagi. Permintaan pesawat kargo akan meningkat dengan ketara dalam tempoh 20 tahun," katanya.


Pada awal tahun 2022, Raya Airways telah memasuki pasaran Nanning, China dan Ho Chi Minh, Vietnam sejajar dengan hala tuju strategiknya untuk mengukuhkan rangkaiannya.


Syarikat penerbangan kargo itu turut merancang untuk terus menerokai pasaran baharu di rantau Asia Pasifik.

19 lihatan0 komen
IMG_20221230_173627.jpg
bottom of page