top of page
  • Writer's pictureMohd Ezli Mashut

RHB Bank Naikkan Unjuran Pertumbuhan Ekonomi Malaysia Pada 2022 Kepada 7.0 Peratus


Sumber Foto : Unsplash


RHB Investment Bank Bhd menyemak semula unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2022 Malaysia kepada tujuh peratus tahun ke tahun (y-o-y) daripada enam peratus berikutan perbelanjaan pengguna yang lebih kukuh daripada jangkaan pada suku ketiga 2022 (S3 2022) dan daya tahan pengguna pada S4 2022.

Ketua Ekonomi Kumpulan dan Ketua Penyelidikan Pasaran Dr Sailesh K Jha berkata kitaran dalam perniagaan di Malaysia memuncak pada S3 2022 dengan penunjuk utama KDNK menunjukkan bahawa S3 2022 mungkin berada dalam julat 10 hingga 12 peratus tahun ke tahun dan S4 2022 pula pada sekitar 2.30 hingga 5.83 peratus berbanding separuh pertama 2022 sebanyak tujuh peratus.


Memandangkan KDNK penggunaan swasta menyumbang kira-kira 60 peratus daripada KDNK agregat, adalah penting untuk menekankan kepada perbelanjaan pengguna sepanjang beberapa suku akan datang, kata firma itu, lapor BERNAMA pada 10 November 2022.


Model pertumbuhan KDNK penggunaan swasta Malaysia menunjukkan bahawa S4 2022 mungkin menyaksikan momentum permulaan yang perlahan yang akan berlangsung sehingga sekitar S2 2023, diikuti dengan pemulihan pada separuh kedua 2023.


Firma penyelidikan itu yakin bahawa kitaran perniagaan Malaysia menuju ke arah kelembapan dari S4 2022 hingga S2 2023, walaupun terdapat perbelanjaan pengguna yang kukuh sehingga S3 2022.


"Kami juga tidak menjangkakan kemelesetan teknikal akan berlaku. Anggaran kami untuk trend pertumbuhan KDNK Malaysia adalah sekitar lima peratus tahun ke tahun.


Sailesh berkata perbincangan tentang kebarangkalian yang rendah mengenai kemelesetan ekonomi 2023 dirangka berdasarkan kemelesetan teknikal sejak 1970.


Semua kejadian itu berlaku akibat faktor luaran, tetapi terdapat juga ketidakseimbangan ekonomi domestik yang lazim seperti fiskal dan ketidakselarasan kadar pertukaran berkesan yang sebenar, yang memburukkan lagi kemerosotan secara panjang dan mendalam, katanya.


"Kesimpulannya: agak sukar untuk menjana kemelesetan di Malaysia," katanya.


Beliau turut menekankan kenaikan harga minyak mentah baru-baru ini pada S1 2022 dan kenaikan yang tinggi mungkin mencetuskan kepercayaan bahawa harga minyak yang lebih tinggi akan membawa kepada penurunan ketara dalam pertumbuhan global.


Namun begitu, beliau mengakui bahawa setiap negara mempunyai dinamik yang berbeza.


"Malaysia adalah pengeksport minyak bersih dan keputusan kajian kami mencadangkan kenaikan harga minyak akan disertai dengan kenaikan KDNK," katanya sambil menambah penurunan mendadak harga minyak sebenar tidak perlu membawa kepada kemelesetan di Malaysia.


Dari segi inflasi indeks harga pengguna (IHP), beliau berkata adalah tidak jelas bahawa harga minyak mempunyai kesan sebab dan akibat terhadap inflasi domestik.


Mengenai tinjauan dasar monetari, RHB Bank berkata Bank Negara Malaysia akan menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) kepada antara 3.0 dan 3.5 peratus pada 2023 tanpa memotong OPR pada 2023, dengan mengambil kira langkah yang diambil oleh Bank Rizab Persekutuan AS.



1 lihatan0 komen
IMG_20221230_173627.jpg
bottom of page