top of page
  • Writer's pictureMohd Ezli Mashut

Saingan Twitter, Threads raih 100 juta pelanggan dalam 5 hari




MEDIA SOSIAL | PARIS: Aplikasi Threads dilancarkan Instagram (IG) sebagai saingan kepada Twitter sudah meraih lebih 100 juta pengguna dalam tempoh kurang lima hari.

Laman sesawang penjejakan data pada 10 Julai 2023 berkata ia mencipta rekod baharu, menggantikan aplikasi pengguna paling pesat berkembang, AI ChatGPT.


ChatGPT mengambil masa selama dua bulan untuk mencapai 100 juta pengguna, manakala aplikasi TikTok pula meraihnya dalam tempoh sembilan bulan, selain IG memerlukan dua setengah tahun untuk mencapai tahap itu selepas dilancarkan pada 2010, lapor AFP pada 10 Julai 2023.


Threads disiarkan secara langsung menerusi Apple dan Android 'app stores' di 100 negara Rabu lalu, walaupun ia tidak ditawarkan di Eropah kerana syarikat induk Meta tidak pasti kaedah perundangan kerahsiaan data Kesatuan Eropah (EU).


Aplikasi Twitter dianggarkan memiliki kira-kira 200 juta pengguna biasa tetapi mengalami kegagalan teknikal berulang sejak Elon Musk membeli aplikasi itu pada 2022 dan memecat ribuan kakitangannya.


Musk yang juga pemilik Tesla dan SpaceX, mengasingkan ramai pengguna dengan memperkenalkan caj bagi perkhidmatan percuma sebelum ini dan mengaktifkan semula akaun kumpulan berhaluan kanan yang sebelum ini dilarang.


Usaha menyingkirkan Twitter dilihat sukar meskipun muncul beberapa pesaing, kebanyakannya aplikasi khusus tanpa kapasiti berkembang pada skala diperlukan bagi tujuan itu.


Namun, Threads dilihat lebih mudah meraih pelanggan kerana dikaitkan dengan IG yang mempunyai lebih satu bilion pengguna biasa.

Sementara itu, perkhidmatan data dalam talian, Quiver Quantitative, melaporkan aplikasi itu meraih lebih 100 juta pengguna pada jam 7 pagi tadi.


Laman sesawang lain yang menggunakan kiraan 'lencana' diterima pengguna IG yang sudah memuat turun Threads, mendakwa pencapaian itu berjaya diraih lebih awal.


Sebelum ini, Musk dipetik menggertak untuk menyaman Meta kerana mencuri rahsia perdagangan dan harta intelek dengan dakwaan itu sudah dinafikan syarikat yang turut memiliki Facebook dan WhatsApp itu.


Musk tersepit dalam persaingan dengan ketua Meta, Mark Zuckerberg, sehingga kedua-dua lelaki terbabit mengancam untuk saling bergaduh secara fizikal baru-baru ini.


Sumber - AFP

3 lihatan0 komen
IMG_20221230_173627.jpg
bottom of page