top of page
  • Writer's pictureMohd Ezli Mashut

Simpanan Bahan Api Fosil Dunia Boleh Lepas 3.5 Trilion Tan CO2 Jika Diguna


Gambar Hiasan: Sumber Foto - Unsplash


GLOBAL | PARIS | Pembakaran simpanan bahan api fosil di Bumi boleh membebaskan 3.5 trilion tan gas rumah hijau (C02) atau tujuh kali ganda lebih tinggi berbanding had ditetapkan untuk mengekalkan pemanasan global pada takat 1.5 darjah Celsius, demikian menurut inventori awam hidrokarbon pada 18 September 2022.

Agensi Berita Antarabangsa AFP pada 19 September 2022 melaporkan aktiviti manusia sejak Revolusi Industri yang dijana tenaga arang batu, minyak dan gas menyebabkan suhu dunia meningkat hampir 1.2 darjah dan mencetuskan bencana kemarau serta banjir lebih buruk di samping peningkatan paras air laut.


Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan bahawa baki bajet karbon Bumi adalah sekitar 360 bilion tan gas C02 atau bersamaan sembilan tahun tahap pengeluaran karbon dioksida semasa.


Bajet karbon merujuk kepada jumlah pencemaran C02 yang boleh dibebaskan ke atmosfera sebelum matlamat suhu 1.5 darjah Celsius seperti dipersetujui di bawah Perjanjian Paris dicabuli.


Inventori diterbitkan oleh Pendaftaran Bahan Api Fosil Global itu bertujuan memberi penjelasan lebih terperinci mengenai simpanan minyak, gas dan arang batu supaya negara-negara dapat menguruskan fasa peralihan kebergantungan kepada bahan api fosil dengan lebih baik.


Menurutnya, dunia mempunyai lebih 50,000 telaga minyak dan gas di 89 negara dengan sesetengah negara didapati mempunyai simpanan bahan api fosil mencukupi untuk menjejaskan bajet karbon dunia.


Sebagai contoh, simpanan arang batu Amerika Syarikat menyamai pengeluaran 520 juta tan gas C02. China, Russia dan Australia pula mempunyai simpanan arang batu mencukupi untuk mencabuli matlamat takat suhu 1.5 darjah Celsius

Secara keseluruhan, deposit bahan api fosil dunia adalah tujuh kali ganda lebih tinggi daripada takat pengeluaran C02 bagi mengekalkan bajet suhu pada 1.5 darjah Celsius.


“Kita mempunyai masa amat suntuk untuk menangani baki bajet karbon dunia,” kata Timbalan Pengarah Perjanjian Pengawalan Bahan Api Fosil, Rebecca Byrnes yang membantu menyusun pendaftaran tersebut.


Menurutnya, daripada 50,000 telaga minyak dunia, sumber paling tercemar adalah Telaga Minyak Ghawar di Arab Saudi yang membebaskan sekitar 525 juta tan gas rumah hijau setiap tahun.


Lokasi yang menyumbang pencemaran paling tinggi pula kesemuanya terletak di rantau Teluk atau Russia.

2 lihatan0 komen
IMG_20221230_173627.jpg
bottom of page