top of page
  • Writer's pictureMohd Ezli Mashut

Suhu melampau pecah rekod di AS, Eropah, China




PERUBAHAN CUACA | WASHINGTON: Suhu terlampau panas dijangka mencengkam di bahagian Eropah, China dan Amerika Syarikat (AS) walaupun musim panas baru bermula di Hemisfera Utara, sekali gus memberi gambaran jelas mengenai bahaya pemanasan global.

Nasihat kepanasan melampau itu dikeluarkan kepada lebih 100 juta penduduk Amerika dengan Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan meramalkan keadaan berbahaya khususnya di Arizona, California, Nevada dan Texas.


Pada masa yang sama, beberapa negara Eropah termasuk Perancis, Jerman, Itali, Sepanyol dan Poland turut berdepan bahang panas, lapor AFP pada 14 Julai 2023.


Menurut Agensi Angkasa Eropah, suhu mungkin melambung setinggi 48 darjah Celsius di pulau Sicily dan Sardinia iaitu yang paling panas pernah direkodkan di Eropah.



Selain itu Afrika Utara juga dilanda cuaca panas dan perkhidmatan meteorologi Maghribi mengeluarkan tanda amaran merah iaitu haba melampau untuk bahagian selatan negara itu.


Beberapa wilayah di China, termasuk ibu kota Beijing juga mengalami suhu panas dan sebuah syarikat pembekal kuasa yang besar di China berkata penjanaan kuasa seharinya mencecah rekod tertinggi pada Isnin lalu.


Menurut agensi angkasa AS, Agensi Aeronautik dan Angkasa Lepas (NASA) serta Perkhidmatan Perubahan Iklim Copernicus Kesatuan Eropah, bulan lalu mencatatkan bulan paling panas dalam rekod.


Berikutan itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Meteorologi Sedunia (WMO), Petteri Taalas, memberi amaran cuaca melampau akibat pemanasan global kini seolah-olah menjadi satu kebiasaan baharu.


"Haba yang berlebihan adalah antara satu peristiwa meteorologi paling burruk yang boleh membawa maut" katanya.


Sementara itu, satu kajian baru-baru ini menganggarkan lebih 61,000 orang mati akibat bahang panas di Eropah tahun lalu.


Faktor penyumbang kepada suhu lebih tinggi tahun ini mungkin akibat corak iklim dikenali sebagai El Nino, yang berlaku setiap dua hingga tujuh tahun.


Fenomena itu menyaksikan suhu permukaan laut lebih panas daripada purata di Pasifik tengah dan timur berhampiran Khatulistiwa, yang berlangsung kira-kira sembilan hingga 12 bulan.


Amerika Utara pula menyaksikan beberapa siri peristiwa meteorologi yang melampau pada musim panas seperti kebakaran hutan di luar kawalan di Kanada hingga menyebabkan pencemaran udara yang luar biasa di sebahagian besar AS.


Timur laut AS, khususnya Vermont, juga baru-baru ini dilanda hujan lebat hingga menyebabkan banjir yang dahsyat.


Menurut saintis iklim, pemanasan global boleh menyebabkan hujan lebih lebat dan lebih kerap, manakala penduduk di kebanyakan kawasan selatan AS mengalami suhu tinggi yang tidak henti-henti selama berminggu-minggu.


Sumber - AFP

1 lihatan0 komen
IMG_20221230_173627.jpg
bottom of page