top of page
  • Writer's pictureMohd Ezli Mashut

Tabung Kewangan Antarabangsa Beri Amaran 2023 Tahun Sukar Ekonomi Dunia


Sumber Foto Hiasan : Unsplash


EKONOMI GLOBAL | WASHINGTON: Bagi sebahagian besar ekonomi global, 2023 bakal menjadi tahun yang sukar kerana enjin utama pertumbuhan global iaitu Amerika Syarikat (AS), Eropah dan China semuanya mengalami aktiviti yang semakin perlahan, kata Pengarah Urusan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Kristalina Georgieva.

Agensi Berita Antarabangsa REUTERS pada 2 Hanuari 2023 melaporkan tahun baharu akan menjadi 'lebih sukar daripada tahun yang kita tinggalkan', kata Georgieva dalam program berita pagi, CBS 'Face the Nation'.


"Mengapa? Kerana tiga ekonomi besar iaitu AS, EU dan China semuanya perlahan secara serentak," katanya.


Pada Oktober 2022, IMF menurunkan prospek pertumbuhan ekonomi global pada 2023, mencerminkan heretan berterusan daripada perang di Ukraine serta tekanan inflasi dan kadar faedah tinggi yang disebabkan oleh bank pusat seperti Rizab Persekutuan (Fed) AS yang bertujuan untuk menurunkan tekanan harga berkenaan.



Sejak itu, China sudah pun membatalkan dasar sifar-COVID dan memulakan pembukaan semula ekonominya yang bergelut, walaupun pengguna di republik itu tetap berhati-hati apabila kes COVID-19 meningkat.


Dalam ucapan awam pertamanya sejak perubahan dasar, Presiden Xi Jinping dalam ucapan Tahun Baharu menggesa kepada lebih banyak usaha dan perpaduan ketika China memasuki 'fasa baharu'.


"Buat pertama kali dalam 40 tahun, pertumbuhan China pada 2022 berkemungkinan berada pada atau di bawah pertumbuhan global," kata Georgieva.


Ditambah pula, penularan pantas jangkitan COVID yang dijangkakan di China pada bulan-bulan mendatang berkemungkinan akan terus menjejaskan ekonomi republik itu tahun ini dan mengheret kedua-dua pertumbuhan serantau dan global, kata Georgieva, yang berada di China atas urusan kerja IMF akhir bulan lalu.


"Saya berada di China minggu lalu, dalam gelembung di bandar yang tiada COVID," katanya.


"Namun, ia tidak akan bertahan apabila orang mula mengembara."


"Untuk beberapa bulan akan datang, ia akan menjadi sukar bagi China, dan kesan ke atas pertumbuhan China akan menjadi negatif, kesan ke atas rantau ini akan menjadi negatif, kesan ke atas pertumbuhan global akan menjadi negatif," katanya.

Dalam unjuran Oktober, IMF menetapkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) China tahun lalu pada 3.2 peratus, menyamai dengan prospek global tabung itu untuk 2022.


Pada masa itu, ia juga menyaksikan pertumbuhan tahunan di China meningkat pada 2023 kepada 4.4 peratus, manakala aktiviti global terus perlahan.


Beliau bagaimanapun membayangkan penurunan lain terhadap prospek pertumbuhan China dan global mungkin akan berlaku pada akhir bulan ini apabila IMF lazimnya mendedahkan unjuran terkini semasa Forum Ekonomi Dunia (WEF) di Davos, Switzerland.



13 lihatan0 komen
IMG_20221230_173627.jpg
bottom of page