top of page
  • Writer's pictureMohd Ezli Mashut

Vaksin Pertahanan Utama Hadapi Virus


Grafik Oleh: Tezla


Suntikan vaksin dan kawalan pergerakan kendiri adalah pertahanan utama dan penting bagi setiap rakyat ketika ini dalam usaha melumpuhkan penularan COVID-19 yang dilihat kembali memuncak sejak awal April lalu.


Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar, berkata dua tindakan itu perlu dilaksanakan dan digembleng bersama semua pihak untuk memastikan negara mampu melandaikan semula lekuk penularan wabak maut itu.


Beliau berkata, pelaksanaan vaksinasi ketika ini perlu ditambah baik supaya lebih sistematik merangkumi proses pendaftaran dan penerimaan suntikan, selain memaksimumkan keupayaan fasiliti kesihatan awam serta swasta untuk mempercepatkan proses pelalian kepada kira-kira 10 juta rakyat yang berdaftar bagi Program Imunasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).


"Apabila bekalan vaksin kembali stabil, kerajaan perlu tingkatkan pembabitan sektor kesihatan swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kesihatan untuk bersama-sama melaksanakan suntikan kepada rakyat di semua jenis fasiliti kesihatan.


"Saya fikir semua pihak bersedia untuk bantu Kementerian Kesihatan (KKM), malah kita mungkin boleh pertimbangkan untuk laksanakan proses suntikan sepanjang hari atau 24 jam supaya lebih ramai rakyat disuntik," katanya lapor Bernama.

Dr Zainal Ariffin berkata, pendekatan lain ialah pemvaksinan di kawasan panas seperti di lokaliti Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selain ruang penambahbaikan sentiasa wujud dengan kerajaan perlu meneliti semula perancangan sebelum ini yang mungkin tidak lagi sesuai dengan keperluan semasa.


"Jika kita lihat sambutan rakyat mendaftar vaksin di MySejahtera serta pendaftaran sukarela vaksin AstraZeneca jelas menunjukkan ramai mahukan vaksin dan ini isyarat kepada kerajaan untuk percepatkan proses vaksinasi," katanya.


Selain itu, Dr Zainal Ariffin turut mencadangkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) meneliti semula prosedur operasi standard (SOP) supaya lebih sesuai mengikut keperluan dan mengambil kira ciri-ciri virus yang kini sudah bermutasi dan wujud 'varian of concerns' (VOC) yang lebih mudah merebak.


Katanya, selain penguatkuasaan SOP had masa operasi sektor ekonomi, kawalan jumlah pergerakan orang keluar rumah perlu dilaksanakan seperti membenarkan hanya seorang atau dua ahli keluarga keluar untuk aktiviti harian dan urusan penting.


"Terdapat kajian yang mendapati penyebaran COVID-19 juga berlaku secara bawaan udara (airborne), selain rembesan cecair (droplets), justeru itu penting untuk rakyat sedar dan patuh kepada amalan 'elak 3 S' iaitu jangan sembang dekat, elak kawasan sesak dan ruang sempit.
"Sebelum nak keluar rumah, semak dulu keadaan jangkitan wabak di kawasan sekitar menerusi hotspots COVID-19 di MySejahtera. Jika tiada keperluan penting duduk di rumah dan jika terpaksa keluar, pakai pelitup muka seperti yang disarankan," katanya.

Dalam tempoh bulan ini, hampir setiap hari negara mencatatkan kes positif COVID-19 baharu tertinggi dengan kumulatif 541,224 kes setakat semalam, manakala jumlah korban seramai 2,491 orang.


Sumber - BERNAMA



2 lihatan0 komen
IMG_20221230_173627.jpg
bottom of page