top of page
  • Writer's pictureMohd Ezli Mashut

Waspada wabak, bencana alam skala besar musnahkan tamadun




Oleh Dr Zahid Zamri -


SEPANJANG sejarah tamadun manusia, semenjak tamadun kuno hingga kini, manusia menghadapi pelbagai pandemik sehingga meragut berjuta nyawa, sekali gus mengancam kewujudan sesebuah tamadun serta keturunan bangsa.

Selain wabak, manusia juga mengalami pelbagai bentuk bencana alam memiliki kuasa luar biasa sehingga mampu melenyapkan sesuatu tamadun dan bangsa.


Berdasarkan sumber sejarah ini, kita sebagai manusia, 'pentadbir' dan 'khalifah dunia' perlu membuka mata serta belajar daripada sejarah tiada yang mustahil dalam tamadun manusia, masyarakat berhadapan dengan pandemik berskala global ataupun tragedi bencana alam menghancurkan kehidupan.


Selain COVID-19, antara pandemik pernah dihadapi manusia ialah demam Typhoid berlaku pada 430 Sebelum Masihi (SM) di sekitar Afrika dan Asia Tengah sehingga ke Athens serta Sparta.


Wabak demam Typhoid ini tercetus ketika Perang Peloponnesian kini di selatan Greece dan menjadi punca kekalahan Athens apabila penyakit ini melepasi tembok Athens dan memudahkan penaklukan dilakukan askar Sparta.


Kemudian wabak 'Antonine' pada 165 Masihi (M) pada mulanya dibawa penjarah Huns berasal dari Asia Tengah datang ke dunia Barat untuk menakluki benua Eropah dan Empayar Rom. Wabak 'Antonine' ini kemudian menjangkiti puak Jerman serta tentera Rom dan akhirnya merebak ke sekitar empayar Rom.


Bahkan wabak 'Antonine' juga meragut nyawa 'Marcus Aurelius Antoninus' iaitu seorang Kaisar termasuk dalam senarai lima maharaja hebat Rom. Nama Antonine juga diambil sempena nama Kaisar Rom ini.


Seterusnya wabak 'Cyprian' (250 M) bermula di Ethiopia, Afrika kemudian merebak hingga ke Mesir, Rom dan Britain. Wabak Cyprian ini menjejaskan kekuatan tentera Empayar Rom dan hampir sahaja menumbangkan empayar berkenaan. Wabak ini datang dan pergi untuk tempoh tiga kurun berikutnya.


Pada 444 M, wabak Cyprian juga menjadi punca tentera British terpaksa meminta bantuan kaum Saxons apabila menghadapi kesukaran mempertahankan negeri mereka daripada serangan puak Picts dan Scots.


Selain virus pandemik, bencana alam juga tidak asing dalam sejarah tamadun manusia. Pelbagai tamadun di benua Asia, Eropah dan Amerika Selatan lenyap akibat 'ditelan' bencana alam.


Sebagai contoh perubahan cuaca melampau mengakibatkan lupusnya bekalan makanan yang akhirnya membawa kepada kebuluran. Antara tamadun lenyap adalah tamadun Maya, Khmer, Indus, Mississipians, Pompei dan Pulau Easter.


Oleh yang demikian, kita tidak boleh lagi alpa dengan ancaman seperti ini. Pada Mei lalu, Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus memberi amaran semua negara perlu berwaspada dengan ancaman pandemik seterusnya boleh berlaku pada bila-bila masa.


Bahkan beliau menegaskan ia pasti akan berlaku. Lebih memburukkan lagi, pandemik bukan satu-satunya ancaman mampu menggugat kehidupan jika tiada langkah pencegahan dan persediaan diambil bermula sekarang.


Sebagai contoh, sarjana pemuliharaan, Bill McKibben dan aktivis alam sekitar Charlie Gardner, menyuarakan kebimbangan mereka apabila kawasan utara Bulatan Artik di Siberia mencatatkan suhu 100 darjah Fahrenheit (F) atau 37.8 Celcius pada akhir Jun 2020.





Sukarkan kehidupan manusia

Dalam tempoh lima tahun sejak dari tarikh itu, jika suhu kepanasan ini tidak berjaya dikurangkan atau terus meningkat, fenomena pemanasan global ini, seperti virus pandemik boleh menjadi bencana alam akan menyukarkan kehidupan seharian manusia serta mengancam keselamatan nasional.


Sekali lagi, selama berdekad-dekad kebimbangan ini disuarakan sarjana dan juga pejuang kesihatan serta alam sekitar. Akan tetapi, seperti biasa ia tidak diendahkan kuasa dunia kerana sibuk dengan perlumbaan mengaut keuntungan semata-mata demi mengekalkan dominasi masing-masing tanpa memikirkan akibat tindakan mereka.


Sebagai contoh, kapitalis multinasional dan ketua negara 'Dunia Pertama' perlu menyedari hakikat ini dan tidak lagi bukan sahaja menangkap, bahkan mencipta versi antagonis kepada Greta Thunberg, seorang belia gigih memperjuangkan alam sekitar demi menjustifikasikan eksploitasi berorientasikan keuntungan mereka ke atas sumber semula jadi.





Tragedi masyarakat umum

Menerusi Heartland Institute, sebuah badan pemikir milik Amerika Syarikat (AS), watak remaja 'anti-Greta' seperti Naomi Seibt menidakkan bahaya pemanasan global dibentuk untuk menyerang balas naratif pemeliharaan alam sekitar dipertahankan Thunberg.


Kekhuatiran Thunberg, yang pernah popular dengan kata-kata 'how dare you?' atau 'berani anda?' mesti didengari dan diambil serius.


Tidak mustahil kelak pada waktu pasca-pandemik ini kita akan menghadapi satu lagi bencana. Akan tetapi kali ini ia mungkin datang dalam bentuk bencana alam berskala besar seperti dikatakan Garret Hardin, seorang saintis ekologi, sebagai 'the tragedy of the commons' atau tragedi masyarakat umum.


Ia bersifat umum kerana kita sama-sama terbabit dalam permasalahan ini, maka sama-samalah kita menggalas tanggungjawab dalam usaha mengatasinya.


* Penulis adalah Pensyarah Kanan, Jabatan Sains Politik Abdul Hamid Abu Sulayman, Kulliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa

4 lihatan0 komen
IMG_20221230_173627.jpg
bottom of page