top of page
  • Writer's pictureMohd Ezli Mashut

WHO: Sekurang-Kurangnya 15,000 Terkorban Akibat Cuaca Panas Di Eropah Pada 2022


Sumber Foto : Unsplash


GLOBAL | Sekurang-kurangnya 15,000 orang meninggal dunia di Eropah kerana cuaca panas pada 2022 setakat ini, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 7 November 2022, dengan Sepanyol dan Jerman antara negara yang paling teruk terjejas.

Tiga bulan dari Jun-Ogos adalah yang paling panas di Eropah sejak rekod bermula, dan suhu yang sangat tinggi membawa kepada kemarau terburuk yang pernah disaksikan di benua itu sejak Zaman Pertengahan.


"Berdasarkan data negara yang dikemukakan setakat ini, dianggarkan sekurang-kurangnya 15,000 orang mati khususnya akibat panas pada 2022," kata Pengarah Serantau WHO untuk Eropah Hans Kluge dalam satu kenyataan.


"Hampir 4,000 kematian di Sepanyol, lebih 1,000 di Portugal, lebih 3,200 di United Kingdom, dan sekitar 4,500 kematian di Jerman dilaporkan oleh pihak berkuasa kesihatan sepanjang 3 bulan musim panas," tambahnya.


Angka itu dijangka meningkat apabila lebih banyak negara melaporkan lebihan kematian akibat panas.


Tanaman layu di Eropah, kerana musim kemarau yang bersejarah memacu rekod kebakaran liar dan memberi tekanan teruk pada grid kuasa benua itu.


Gelombang haba berturut-turut antara Jun dan Julai, yang menyaksikan suhu mencecah 40 darjah Celsius di Britain buat kali pertama, menyaksikan kira-kira 24,000 lebihan kematian di Eropah.


Tempoh 8 Tahun Lalu Paling Panas Dalam Sejarah

Sementara itu Pertubuhan Meteorologi Sedunia (WMO) memberi amaran dalam laporannya bahawa tempoh lapan tahun lalu adalah yang paling panas pernah direkodkan sejak WMO mula menerbitkan data suhu dunia, lapor AGENSI.


Menurut WMO yang merupakan agensi di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), krisis iklim menjadi serius pada dekad lalu dengan takat ­peningkatan suhu dunia 1.5 darjah Celsius seperti dipersetujui oleh banyak negara, gagal dicapai.


Diterbitkan pada hari pembukaan sidang kemuncak iklim COP27, laporan sama menyebut bahawa pelepasan gas rumah hijau mencatat rekod baharu dan menjadi punca kepada bencana besar-besaran di seluruh dunia seperti banjir dahsyat di Pakistan serta Puerto Rico.



Sumber Foto : Unsplash


Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres semasa ucaptama beliau berkata, Bumi berada di ambang titik perubahan dan tidak akan lagi dapat kembali kepada keadaan sebelum fenomena perubahan iklim berlaku.


Katanya, suhu dunia meningkat secara konsisten sejak 2016 akibat pencemaran.


“Lebih serius amaran yang dikeluarkan, lebih teruk impak yang berlaku.


“Kita mempunyai gas karbon dioksida terlalu tinggi dalam atmosfera sekarang sehinggakan peningkatan suhu 1.5 darjah Celsius seperti yang dipersetujui di bawah Perjanjian Paris tidak lagi dapat dicapai.


“Sekarang sudah terlambat untuk menyelamat banyak glasier di Bumi, manakala peningkatan paras laut menjadi ancaman jangka panjang utama kepada berjuta-juta penduduk kawasan tepi pantai dan negara-negara yang kedudukannya lebih rendah daripada paras laut,” kata Setiausaha Agung WMO, Profesor Petteri Taalas pula.


Menurutnya, selain banjir, gelombang haba dan kemarau juga menjadi semakin kerap sejak dekad lalu, dengan China merekodkan suhu amat tinggi, manakala sebilangan sungai di seluruh dunia kering.


Sidang kemuncak iklim COP27 tajaan PBB itu berlangsung di lokasi peranginan Laut Merah kelmarin ketika negara-negara dunia berdepan semakin banyak bencana alam yang pada tahun ini sahaja, meragut ribuan nyawa serta menyebabkan kerugian berbilion-bilion dolar.


Pemimpin sekitar 110 negara dijadualkan menghadiri sidang itu. Presiden China, Xi Jinping bagaimanapun tidak menghadirinya. China merupakan negara pengeluar gas rumah hijau terbesar di dunia.


Antara agenda utama sidang kali ini termasuk negara-negara kaya menetapkan jangka masa untuk menyumbang dana ­tahunan AS$100 bilion (RM474.5 bilion) bagi membantu negara-negara membangun memajukan ekonomi hijau dan membina ketahanan terhadap perubahan iklim di masa hadapan.

7 lihatan0 komen
IMG_20221230_173627.jpg
bottom of page